
KUALA LUMPUR – Musim perayaan tahun ini bakal dimeriahkan dengan kemunculan single Raya paling ‘havoc’, “Balik Kampung…Gosip Raya”. Lagu ini menampilkan gandingan dua nama besar industri hiburan Malaysia, Ain Edruce dan Sherry Alhadad. Berbeza daripada lagu-lagu Raya biasa, single ini mengetengahkan kisah realiti yang mencuit hati, penuh dengan elemen humor dan drama tentang tradisi berkongsi cerita serta berbalas gurauan semasa perayaan.
Diterbitkan oleh Sony Music Entertainment Malaysia dengan kerjasama AEON, lagu ini turut disertakan dengan muzik video bertemakan “Seloka Raya – Dari Dulu Hingga Kini”. Inisiatif ini mencerminkan usaha AEON dalam meraikan tradisi Aidilfitri menerusi fesyen Raya, dari baju kurung elegan dan kebaya klasik hingga ke kaftan moden. Lagu ini dilancarkan lebih awal sebelum Ramadan bagi memberi peluang kepada pendengar untuk menghafal lirik dan bersiap sedia bagi sesi karaoke epik dalam perjalanan pulang ke kampung halaman.

Ketua Pegawai Dagangan dan Pemasaran AEON Malaysia, Low Ngai Yuen, menyatakan bahawa kerjasama dengan Sony Music Malaysia adalah bertepatan dengan tema Raya AEON tahun ini. “Istilah ‘Seloka’ melambangkan penceritaan yang santai dan bersahaja—pertukaran kata yang bijak, puitis serta penuh kehangatan, persis lagu ‘Balik Kampung…Gosip Raya’ oleh Sherry dan Ain,” katanya.
Gosip Raya: Tradisi Yang Mengeratkan Hubungan
Lagu ini mentakrifkan semula maksud ‘gosip’ sebagai perkongsian cerita, tawa dan perkembangan hidup yang mengeratkan hubungan antara keluarga serta sahabat. Dengan kehadiran bintang lain seperti Hafiz Hamidun, Vanessa Reynauld, Adrianna Cinta dan Kidd Santhe dalam muzik video rasmi, “Balik Kampung…Gosip Raya” dijangka membangkitkan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Sony Music Entertainment Malaysia turut mengucapkan terima kasih kepada Buz, aplikasi pesanan audio terkemuka, atas sokongan mereka terhadap muzik video ini, serta komitmen mereka dalam menyokong Ain Edruce sebagai duta jenama.

Kolaborasi Ain & Sherry: Dari Set Ke Studio Rakaman
Kerjasama Ain dan Sherry dalam projek ini berlaku secara spontan. “Sony Music hadir menyatakan hasrat mereka tentang sebuah lagu Raya, dan tanpa berfikir panjang, saya terus setuju, begitu juga dengan Ain,” kata Sherry. Ain pula menambah bahawa walaupun ini adalah kali pertama mereka bergabung dalam sebuah lagu, mereka sudah lama mengenali antara satu sama lain, menjadikan proses rakaman lebih menyeronokkan.
Rakaman lagu ini dipenuhi dengan gelak tawa kerana kedua-duanya bukan penyanyi profesional. “Kami ketawa terlampau lama sehingga sukar untuk meneruskan rakaman,” kata Ain. Sherry pula berkongsi pengalaman lucu apabila mereka sendiri keliru antara suara masing-masing. “Nasib baik ada Afif Tirmizie yang membantu di studio rakaman, kalau tidak… ‘kelautlah’ lagu ini!”

Harapan Ain & Sherry Untuk “Balik Kampung…Gosip Raya”
Ain dan Sherry berharap lagu ini akan menjadi lagu wajib dalam senarai putar Aidilfitri tahun ini. “Kami mahu semua orang terhibur dan menyanyikan lagu ini bersama-sama dalam perjalanan pulang ke kampung,” kata Ain. Sherry pula menambah, “Selain hiburan, lagu ini juga memberi peringatan bahawa lebih baik menikmati juadah Raya daripada sibuk bergosip tentang orang lain.”

Boleh Didengari di Semua Platform Digital
“Balik Kampung…Gosip Raya” kini tersedia di semua platform penstriman utama seperti Spotify, Apple Music dan YouTube, serta boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan nada dering panggilan menerusi syarikat telekomunikasi tempatan. Lagu ini diharapkan mampu menjadi antara lagu Raya paling diingati pada tahun ini.