Ejen Ali The Movie 2 Gegar Pawagam Bermula 22 Mei Ini!

KUALA LUMPUR, 1 Mei 2025 – Pengembaraan baharu Ejen Ali kembali menghangatkan layar perak dengan pelancaran Treler Rasmi Kedua hari ini, sekali gus mengesahkan tarikh tayangan rasmi filem animasi yang dinanti-nantikan, Ejen Ali The Movie 2, iaitu pada 22 Mei 2025.

Susulan kemunculan poster utama yang mencetus perbualan hangat sejak semalam, treler terkini menampilkan gambaran aksi mendebarkan, emosi menyayat hati, serta visual animasi yang jauh lebih canggih dan memukau berbanding sebelum ini. Penonton dijanjikan dengan jalan cerita penuh intensiti dan kejutan baharu dalam misi Ejen Ali kali ini.

Treler dimulakan dengan suara misteri menyeru Ali untuk bangkit, sebelum gema kata-kata “Kerja kita belum selesai…” membuka tirai konflik antara Ali dan Rizwan — bekas ejen MATA yang muncul kembali dengan motif tersembunyi. Watak antagonis baharu, Neonimus, memperkenalkan cabaran yang lebih besar buat Ali, yang kini perlu menguasai sut Satria — ciptaan teknologi AI terkini oleh agensi perisik MATA.

Filem ini juga memperkenalkan Ketua Teras MATA baharu, Ejen Amir (Neuro) dan Ejen Elle (Inviso), yang menukar landskap strategi dalam perjuangan menentang ancaman siber. Kemunculan Rizwan yang bersekutu dengan duo penjahat Dos dan Trez turut menimbulkan pelbagai persoalan dan spekulasi dalam kalangan peminat.

Suasana tegang dan dramatik dalam treler diperkuatkan dengan lagu tema ‘Hanya Kamu’ nyanyian Dato’ M. Nasir, yang turut mencetus fenomena di platform strim digital sejak Februari lalu — bertepatan dengan tayangan semula Ejen Ali The Movie (2019) yang membakar kembali semangat peminat setia.

Menurut Usamah Zaid Yasin, pengarah filem ini, “Pelancaran treler rasmi kedua ini mencetus keterujaan buat kami sebagai pengkarya. Kami tidak sabar untuk menyambut peminat di pawagam dan mempersembahkan naratif Ejen Ali pada skala besar dan penuh aksi. Jumpa anda di pawagam pada 22 Mei ini!”

Ejen Ali The Movie 2 diterbitkan oleh Primeworks Studios dan WAU Animation dengan kerjasama Komet Productions, dan dijangka menjadi satu lagi pencapaian penting dalam dunia animasi tempatan dan serantau.