INTEAM & SAM BUNKFACE DALAM ‘MENCARI SINAR’

KUALA LUMPUR, 13 APRIL 2021 – Selepas projek kolaborasi lagu “Jangan Menghina” yang menggabungkan Inteam, Alif Satar dan Nocturnal Voice pada tahun 2016, Smileyriver Online (Smileyriver) sekali lagi menggabungkan dua nama besar dari dua genre berbeza – Inteam (pop nasyid) dan Sam Bunkface (punk rock).

“Mencari Sinar” membawa mesej ‘penghijrahan’ dan dilancarkan bersempena Ramadan iaitu bulan penuh rahmat dan keampunan, juga bulan yang sudah sinonim dengan penghijrahan kerana dalam bulan inilah umat Islam lebih bermotivasi untuk berubah dan ‘berhijrah’.

“Mencari Sinar” merupakan sebuah karya baharu yang mana melodi dan lirik asalnya ditulis oleh Allahyarham Ahmadi Hassan. Allahyarham, jika ramai masih ingat dan kenal, ialah penyanyi era 70-80an yang banyak menghasilkan lagu-lagu dakwah. “Mencari Sinar” ialah salah sebuah karya terakhir Allahyarham yang belum pernah dirakam sebelum ini. Istimewanya, inilah satu-satunya karya ciptaan Allahyarham yang diselitkan elemen rap di dalamnya. Bagaimanapun, bagi mengukuhkan lagi mesej yang terkandung di dalam lirik, Sam Bunkface telah membuat improvisasi pada rangkap rap lagu ini.

Sam Bunkface

Menurut kenyataan vokalis Bunkface, “Alhamdulillah, bekerja dengan pihak Inteam sangatlah mudah dan mereka juga lebih berpengalaman daripada Sam, jadi Sam yang banyak mengambil input dan belajar daripada mereka.”

” Sam berharap pendengar muzik tempatan dapat menerima karya Sam yang mungkin kali ini sedikit berlainan bentuknya daripada lagu- lagu Sam yang lain. Yang penting, hayati mesej-mesejnya dan semoga dapat memberi sedikit inspirasi dalam hidup anda.”

Turut menampilkan Fauziah Gambus sebagai pemuzik jemputan

“Ini kali pertama Sam produce lagu untuk kumpulan nasyid. Kolaborasi yang mencabar untuk Sam juga sebab kali pertama berkolaborasi dengan kumpulan nasyid.” Ujar Sam.

Bagi mewujudkan kelainan serta keseimbangan kepada genre dan mood lagu, Smileyriver telah mendapatkan khidmat Sam Bunkface sebagai penyusun muzik   di mana Sam turut bekerjasama dengan Epul Kuat bagi tugas ini. “Mencari Sinar” turut menampilkan Fauziah Gambus sebagai pemuzik jemputan.

Inteam meluahkan rasa syukur apabila diberi kepercayaan oleh pihak Smileyriver sekali lagi berkolaborasi untuk lagu “Mencari Sinar”. 

“Menariknya, kali ini bersama dengan Sam Bunkface. Ini merupakan kali kedua Inteam bekerjasama dengan pihak Smileyriver dan pertama kali digandingkan dengan vokalis Bunkface.” Ujar Inteam.

Inteam ketika menjalani proses rakaman

Inteam menjelaskan “Mencari Sinar ialah sebuah lagu baru di mana telah dicipta oleh Allahyarham Ahmadi Hassan dan susunan muzik kali ini oleh Sam Bunkface dan Epul Kuat.”

“Proses rakaman lagu “Mencari Sinar” tidak mengambil masa lama dan berjalan dengan baik. Seperti yang diberitahu, Sam Bunkface amat teruja dengan projek kali ini kerana pertama kali bergandingan dengan artis nasyid iaitu kumpulan Inteam.”

Kumpulan Inteam

“Harapan Inteam semoga lagu “Mencari Sinar” mendapat sambutan di kalangan semua pendengar baru dan lama.” Ujar Inteam kepada media.

Lagu telah diadun (mixing) oleh Epul Kuat, manakala mastering oleh Felix Voon. Video muzik “Mencari Sinar” diarahkan oleh Muhammad Iszee dari Clora Studio. “Mencari Sinar” telah berada di semua platform digital.

Mencari Sinar – Inteam & Sam Bunkface (Official music video)