Juara Bintang Klasik 2025 Milik Sitara Hakimi

KUALA LUMPUR, 30 September 2025 – Malam Kemuncak Bintang Klasik 2025 menyaksikan Muhammad Hakimi Halili atau lebih dikenali sebagai Sitara Hakimi, 33, dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan lima finalis lain menerusi persembahan bertenaga di Auditorium Seri Angkasa, baru-baru ini.

Kelunakan vokal dan penghayatan penuh emosi ketika mendendangkan lagu Lagu Rindu serta persembahan mantap dalam segmen battle bersama Azmirul menerusi lagu Kasih menjadi taruhan kejayaan beliau. Sitara Hakimi membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 berserta sebuah kereta, selain turut meraih gelaran Persembahan Terbaik yang melayakkannya menerima tambahan RM4,000.

“Terus terang, saya tidak menyangka kemenangan ini kerana semua peserta sangat hebat. Mungkin ini rezeki anak saya. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur,” katanya ketika ditemu bual, sambil menegaskan hasratnya untuk terus mengembangkan kerjaya nyanyian di pelbagai platform.

Naib juara menjadi milik Sitara Azmirul dengan hadiah wang tunai RM12,000 manakala tempat ketiga disandang Syaimaa yang membawa pulang RM8,000. Tiga lagi finalis – Ikmal, Saiful dan Ranisha – masing-masing menerima saguhati berjumlah RM2,000.

Bagi Ranisha, 25, peserta dari Labuan, peluang mara ke pentas akhir disifatkan pencapaian besar walaupun pertama kali menyertai pertandingan berprestij itu. “Lagu klasik ada keunikan tersendiri dari segi melodi dan susunannya. Saya berharap lebih ramai anak muda akan mendengar dan menghargai muzik klasik,” ujarnya.

Pertandingan anjuran RTM yang mengetengahkan enam finalis ini menggunakan format gabungan persembahan solo dan segmen battle, sekali gus membuktikan irama klasik tanah air masih relevan dan segar di pentas generasi baharu.

Acara bertemakan Malam Irama Seribu Bintang dengan konsep pakaian Classic Red & Gold itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis popular termasuk Liza Aziz, Ramlah Ram, J. Sham serta kugiran terkenal masa kini, Masdo. Malam kemuncak tersebut turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman.

Siaran ulangannya boleh ditonton di RTMKlik.