PETALING JAYA, 28 Februari 2025 – “Saya dah pernah buat cerita poligami, penyondol, dan cinta. Dah letih, dah klise, dah bosan, dah muak. Dah mual dengan isu yang sama.” Begitulah luahan pengarah dan penerbit tersohor, Eirma Fatima, mengenai karya terbarunya, Keluarga Itu. Berbeza daripada kisah-kisah klise yang sering menghiasi kaca televisyen, drama ini bukan sekadar memaparkan pertelingkahan keluarga tetapi menggali luka yang tersembunyi di sebalik senyuman, sekaligus menimbulkan persoalan tentang makna sebenar hubungan darah dan kejujuran.
Drama bersiri ini bakal menemui penonton bermula 28 Februari 2025, setiap Jumaat hingga Ahad, jam 9.00 malam di TV3. Bagi yang tidak sabar, ia boleh distrim 24 jam lebih awal di Tonton atau melalui aplikasi Tonton untuk merasai debarannya lebih awal.
Keluarga Itu: Retak yang Menunggu Runtuh
Dari luar, keluarga ini tampak sempurna, namun di dalamnya tersembunyi konflik yang menanti masa untuk meletus. Kisah ini mengisahkan Iman (Datuk Rosyam Nor), seorang tokoh tahfiz yang dihormati, bersama isterinya, Chempaka (Datin Seri Umie Aida), yang cuba membimbing empat anak mereka, iaitu Ansara (Fattah Amin), Anwari (Muaz Zabir), Dhamiah (Puteri Balqis), dan Dhini (Duerra Mitilda), masing-masing membawa kisah dan pergolakan tersendiri.

Ansara, sebagai anak sulung dan seorang usahawan berjaya, berdepan konflik rumah tangga apabila isterinya, Camelia (Melissa Campbell), seorang mualaf, berpaling darinya. Anwari, anak kedua yang dikuasai rasa dengki, semakin menjauh daripada keluarga, tidak menyedari kesetiaan isterinya, Husna (Izara Aishah), yang tetap bertahan meskipun diabaikan.
Sementara itu, Dhamiah yang melarikan diri demi kebebasan akhirnya terperangkap dalam dunia yang lebih kejam akibat trauma silamnya. Dhini, si bongsu yang menghidap autisme, menjadi saksi kepada pergelutan keluarganya, bergantung sepenuhnya kepada Husna dan Dhamiah yang sentiasa di sisinya.
Di sebalik segala rahsia dan ujian yang melanda, mampukah mereka kembali bersatu atau segalanya sudah terlalu hancur untuk diperbaiki?
Eirma Fatima: Mesej yang Lebih Daripada Sekadar Hiburan
Menurut Eirma Fatima, Keluarga Itu bukan sekadar drama biasa, tetapi sebuah karya yang membuka mata masyarakat terhadap realiti sebenar yang sering dipandang remeh.
“Saya tidak mahu sekadar bercerita, tetapi menyentak jiwa mereka yang menonton. Niat saya adalah untuk memberi pengajaran dan mempersiapkan diri menghadapi situasi sebegini. Kita selalu melihat, tetapi memilih untuk menutup mata. Kita tahu, tetapi kita selesa dalam penafian. Hakikatnya, isu ini bukan sekadar kisah dalam skrip, ia nyata dan semakin parah,” ujar beliau.

Dihidupkan oleh barisan pelakon berbakat besar seperti Datuk Rosyam Nor, Datin Seri Umie Aida, Fattah Amin, Muaz Zabir, Puteri Balqis, Amir Ahnaf, Melissa Campbell, dan kemunculan semula Izara Aishah, drama ini menjanjikan lakonan yang penuh emosi serta realiti yang menyentuh hati.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Keluarga Itu, sebuah kisah yang merentap jiwa, mencabar kepercayaan, dan memperlihatkan realiti pahit yang perlu ditelan tetapi benar. Saksikan di TV3 atau Tonton, dan bersedialah untuk merasai kisah yang akan kekal dalam ingatan anda.