KUALA LUMPUR – Tayangan perdana filem aksi tempatan berjudul War On Terror : KL Anarki (WOT : KLA) telah diadakan di GSC LaLaport BBCC, Kuala Lumpur pada 14 November, lalu. Filem yang menelan belanja kos jutaan ringgit ini bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei mulai Khamis, 23 November 2023.
War On Terror : KL Anarki menampilkan barisan pelakon hebat seperti Aedy Ashraf, Farali Khan, Adlin Aman Ramlie, Daiyan Trisha, Qi Razali, Noki K-Clique, Naque Ariffin, Kahoe Hon, Sasidaran Subramaniam, Samarinna Tolhip, Daniel Gan, Laura Olivia dan Wan Hanafi Su.
Filem arahan bersama oleh Kroll Azry dan Frank See bakal menjadi filem terbaik untuk penutup tahun 2023 kerana ia merupakan sebuah filem yang padat dengan aksi dan debaran dari awal hingga ke akhir.
“Saya dapat merasakan penonton sangat teruja untuk menonton filem ini kerana jalan cerita yang berbeza dari filem-filem yang pernah ditonton. Selain itu, penampilan barisan pelakon yang mantap mampu menyampaikan jalan cerita filem ini dengan lebih jelas kepada para penonton,” jelas Kroll Azry.
Bagi pelakon utama War On Terror : KL Anarki ini, Aedy Ashraf, cabaran yang dihadapi beliau sepanjang penggambaran filem ini adalah melakukan sendiri aksi lasak tanpa menggunakan khidmat stuntman. Menurutnya ini adalah peluang bagi dirinya sebagai seorang pelakon yang versatile.
“Saya bukanlah pelakon aksi sebelum ini dan saya pun tak akan letakkan label tu pada diri saya. Saya rasa lebih suka versatile untuk saya cuba apa yang saya rasa boleh buat. Masa saya baca skrip ni, saya rasa saya boleh buat tapi bila nak buat scene tu, saya rasa sangat mencabar.
“Pengarah ada bincang dan dia cadangkan untuk menggunakan khidmat stuntman. Saya fikir ini satu peluang untuk saya dan jika saya tak buat sekarang, saya akan merasa ia satu kerugian.” Katanya.
Aedy melakonkan satu babak yang mana beliau perlu terjun dari bangunan yang tinggi. Tahu akan risiko yang bakal dihadapi, namun Aedy tetap mencabar dirinya dan berjaya melakukan aksi tersebut.
“saya ni seorang yang penakut tinggi dan gayat. Semasa proses shooting tu, kitaorang naik ke atas bangunan dan saya tak tengok ke bawah langsung, sebab kalau saya tengok bawah, saya akan jadi takut. Proses shooting tu ambil masa yang lama, dalam tempoh tersebut memang saya tak tengok langsung ke bawah dan bila dah selesai shooting scene tersebut, barulah saya lihat ke bawah dan amat terkejut jugalah sebab tinggi.” Jelas Aedy.
War On Terror : KL Anarki mengisahkan tentang sekumpulan pengganas diketuai oleh Lang yang telah meletupkan sebuah stesen keretapi di Pantai Timur. Pasukan khas unit anti pengganas polis ketuai oleh Senior Asisten Komisioner Polis (SAC) Rahman dan anggotanya Khalid, Anis, Zack dan Bob diarahkan untuk menyiasat. Lang telah berjaya diberkas oleh pasukan khas unit anti pengganas polis semasa serbuan dilakukan namun adik beliau, Joe telah berjaya meloloskan diri. Keadaan menjadi rumit apabila Joe mengugut untuk meletupkan bandar Kuala Lumpur sekiranya abangnya Lang tidak dibebaskan. Kini pihak polis perlu berlumba dengan masa kerana ancaman pengganas ini boleh mengorbankan banyak nyawa di Kuala Lumpur.
Memetik kata-kata Pengarah Urusan Kumpulan Multimedia iaitu Datuk Steven Lim, “Kerjasama dalam menjayakan filem ini sebenarnya adalah untuk menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada usaha dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama bertahun-tahun dalam menjaga dan memelihara keselamatan negara, rakyat, nyawa, dan harta benda”.
Filem ini dipersembahkan oleh Polis Diraja Malaysia, Multimedia Entertainment, Golden Screen Cinemas, Astro, Six Fun Media, dan dipersembahkan bersama HONOR X9b, dengan sokongan penaja utama CUCKOO dan penaja AHB.