Legend is Here – Sheila On 7 Bawa Nostalgia ke Stadium Nasional!

Latihan Pestapora Malaysia 2025 Kini Berpindah ke Lokasi Ikonik di Bukit Jalil

KUALA LUMPUR, 6 Jun 2025 – Kumpulan legenda dari Indonesia, Sheila On 7, sah akan kembali ke Malaysia untuk membuat persembahan istimewa dalam Latihan Pestapora Malaysia 2025, festival dua negara yang kini diumumkan akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 Julai 2025.

Pengumuman ini hadir bersama berita barisan artis Fasa 2 yang dinanti-nantikan. Selain Sheila On 7, dua lagi nama besar yang akan menyertai festival ini ialah penyanyi bersuara unik Nadin Amizah serta penerbit dan DJ berbakat ALVN. Perpindahan ke stadium terbesar di Malaysia menandakan pertambahan skala yang ketara, membolehkan lebih ramai peminat menyaksikan konsert berskala mega ini secara langsung.

Sheila On 7

Menurut Rohit Rampal, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, kehadiran semula Sheila On 7 ke Malaysia bukan sekadar sebuah persembahan biasa. Katanya, Sheila On 7 adalah lambang memori dan muzik yang merentas generasi. Beliau menyifatkan konsert ini sebagai satu detik penting dalam sejarah festival muzik tempatan, dan lokasi baharu di Stadium Nasional akan membawa impak yang lebih besar dan mendalam kepada peminat muzik di seluruh negara.

Kiki Ucup, Pengarah Festival Pestapora dan Pengasas Bersama Boss Creator, pula menyatakan bahawa membawa semangat Pestapora ke Malaysia adalah langkah yang sangat bermakna buat seluruh pasukan penganjur. Menurutnya, kehadiran artis seperti Sheila On 7, Nadin Amizah dan ALVN mampu menyemarakkan lagi sambutan muzik dan memperkukuh hubungan antara komuniti muzik di Malaysia dan Indonesia.

Nadin Amizah

Latihan Pestapora Malaysia merupakan inisiatif bersama antara Hitman Solutions dan Boss Creator, pasukan yang sama yang menganjurkan edisi asal Pestapora di Jakarta. Festival ini dirancang sebagai platform silang budaya yang bukan sahaja meraikan muzik, tetapi juga menyatukan peminat dari kedua-dua negara dalam suasana yang penuh emosi dan tenaga.

Tiket Fasa 2 Dijual 9 Jun

Tiket Fasa 2 akan mula dijual pada 9 Jun 2025, jam 12 tengah hari (GMT+8) di www.latihanpestaporamalaysia.com. Jualan ini menyusul kejayaan Fasa 1 yang menyaksikan ribuan tiket habis terjual sebelum barisan penuh diumumkan.

Kategori tiket yang ditawarkan untuk Fasa 2 merangkumi pilihan zon berdiri dan tempat duduk bernombor. Antara kategori baharu ialah CAT 1 dan CAT 2, membolehkan peminat memilih pengalaman festival yang paling sesuai dengan gaya mereka. Harga tiket adalah seperti berikut:

Rockzone (Free Standing) – RM299

GA (Free Standing) – RM249

CAT 1 (Tempat Duduk Bernombor) – RM399

CAT 2 (Tempat Duduk Bernombor) – RM189

Latihan Pestapora Malaysia juga akan menampilkan barisan Fasa 1 termasuk nama-nama besar seperti .Feast, Hindia, Pamungkas, Feel Koplo, Bittersweet, Bunkface, DOLLA dan ramai lagi—menjadikannya festival muzik rentas budaya yang penuh warna dan tenaga.

Festival ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai rakan strategik yang membantu menjayakan acara berskala besar ini. Antara yang terlibat ialah ERA FM, HITZ, SINAR, MIX, THR GEGAR dan SYOK sebagai rakan radio; World of Buzz dan Lobak Merah sebagai rakan media; serta Batik Air dan BookCabin sebagai rakan perjalanan rasmi. Sunway Putra Hotel turut menyertai sebagai rakan hotel, manakala Universal Music Malaysia dan Tapao Fest menyokong sebagai rakan strategik.

Maklumat lanjut dan pembelian tiket di: www.latihanpestaporamalaysia.com