July 27, 2024
PELAKON MENCARI RAMLEE

(Oleh: Zizi Hashim)

BANGI – Filem sulung arahan Megat Sharizal berjudul ‘Mencari Ramlee’ telah meneroka cabaran dan kepayahan yang dihadapi artis tempatan pada era 70an akibat perubahan zaman dan bagaimana untuk mempertahankan kerjaya seni mereka. Filem fiksyen berinspirasikan dari cerita kehidupan lagenda Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang menikmati kemasyhuran dan kekayaan selama bertahun-tahun sebagai pelakon, pengarah dan pemuzik popular. 

Namun menjelang akhir hayatnya, beliau tidak dapat mencari pekerjaan selepas berpindah dari Singapura ke Malaysia pada tahun 1964. Ini mengakibatkan merosotnya populariti sehinggalah beliau meninggal dunia pada 29 Mei 1973. 

Idea sejak tahun 2012

‘Mencari Ramlee’ dibintangi teraju utama Tony Eusoff, Datin Sofea Jane, Mimi Lana, Megat Sharizal, Amerul Afendi dan Iedil Putra serta penampilan khas Beto Kusyairi dan ramai lagi. Menurut Megat Sharizal, idea untuk menghasilkan filem ini telah tercetus sejak tahun 2012 tetapi idea ini terhenti disebabkan pada waktu itu beliau mempunyai filem lain yang terlebih dahulu lulus untuk diterbitkan.

“P. Ramlee adalah idola saya, punca saya terlibat dalam bidang perfileman pun disebabkan beliau. Dari lahir buka mata saya telah didedahkan dengan filem P. Ramlee. Namun ada kekangan di Malaysia sedikit sukar untuk buat filem biografi, oleh itu saya fikir mungkin saya boleh buat filem mengenai P. Ramlee tetapi di‘fiksyen’ kan filem itu, dimana apa yang berlaku dalam filem ini berlaku pada zaman kejatuhannya.

“Ramai mengingati P. Ramlee ketika zaman kegemilanganya namun tidak ramai yang tahu bagaimana keadaannya sewaktu dilupakan. Saya tekankan isu ini kerana ianya mungkin bukan terjadi pada P. Ramlee sahaja, malahan terjadi juga pada seniman-seniman yang lain.” Ujarnyanya ketika ditemui media pada Majlis Tahlil dan Bacaan Yassin sempena Ulangtahun Kelahiran Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, 22 Mac lalu, Masjid Teras Jenang, Bandar Baru Bangi. 

MEGAT-SHARIZAL

Bukan filem biografi

“Saya ulangi ini bukan filem biografi, ianya adalah fiksyen yang menggunakan P. Ramlee sebagai subjek utama. Apa yang berlaku dalam filem ini adalah 100% fiksyen, tidak menyentuh tentang kehidupan P. Ramlee yang sebenar. Saya juga mensasarkan filem ini akan ditayangkan di seluruh pawagam pada September tahun ini sekiranya tiada aral melintang.” Kata Megat lagi.

Bagi Tony Eusoff, beliau mengakui memikul cabaran yang besar memainkan watak Ramlee dan beliau menerima lamaran dari Megat setahun sebelum penggambaran bermula. Tony yang begitu teruja dapat melakonkan watak Ramlee mengakui beliau sangat kagum dengan jalan cerita sehingga memberikan metafora sanggup bayar untuk berlakon di dalam filem ini. 

Pertama kali berganding dengan Sofea Jane

“Mengenali beliau lebih dari 20 tahun, saya berasa sangat terharu kerana kepercayaan yang diberi. Saya juga percaya dengan hasil karya yang pernah dihasilkan beliau, antara salah seorang dari fiction creator yang sangat bagus. Apatah lagi dapat peluang berlakon bersama seorang legenda seperti Sofea Jane. Ini merupakan pertama kali saya bekerjasama dengan Sofea Jane walaupun saya dah lama kenal beliau. Satu peluang yang takkan saya lepaskan. Beliau mempunyai etika kerja yang sangat bagus sehinggakan memberi inspirasi untuk mendorong saya memberi yang terbaik.” Ujar Tony.

Pernah memegang watak P. Ramlee sebelum ini didalam biopic ‘Saloma’ dan juga pementasan teater di dalam ‘P. Ramlee The Musical’, tidak dinafikan ianya sedikit sebanyak memberi Tony Eusoff penjiwaan dalam mempersembahkan replikasi personaliti dan karektor P. Ramlee. Seorang yang begitu merendah diri dan berbakat besar, Tony mengharapkan ‘Mencari Ramlee’ dapat mencetus satu budaya perfileman yang baru kerana ianya tidak melibatkan apa-apa sentimen, sekadar untuk menghiburkan disamping pesan supaya sentiasa mengingati ‘ikon lagenda tanahair’ kita iaitu P. Ramlee yang mungkin telah dilupakan oleh generasi baru.

Banyak belajar dengan generasi baharu

“Tak boleh salahkan juga generasi baharu kerana terlalu banyak pengaruh daripada luar. Apabila terlalu terdedah dengan negara luar, mungkin akan lupa nilai-nilai kesenian yang ada sebelum ini. Kalau boleh, jangan lupakan. Gunakan sebaik mungkin dan hidupkan semula. Saya juga banyak belajar dari generasi baharu, vice versa juga lah.” Kata Tony lagi.

Sementara itu, Datin Sofea Jane yang turut melahirkan rasa gembira menjadi watak utama bernama Zaiton bagi filem ‘Mencari Ramlee’ ini. Terjalin persahabatan di antara Zaiton dan Ramlee, dimana persoalannya adakah ianya akan membuih cinta.

Menemukan pelbagai aspek estetik wanita

“Apabila saya membaca naskhah ini, ianya adalah dialog yang telah pernah dilihat berzaman-zaman. Bukanlah sesuatu yang kekok atau renggang dari diri saya. Oleh kerana filem ini bernuansa 60an dan 70an, saya dapat melalui satu proses dimana saya discover pelbagai aspek estetik wanita pada ketika itu dari segi pemakaian, percakapan dan kemanusiaan mereka.

“Saya akrab dengan karya yang saya suka, tidak kira orang baru atau orang lama dalam industri. Yang paling penting naskhah itu mampu buat saya gelak, buat saya rasa gembira, buat saya rasa ini adalah sesuatu yang sangat fresh dan tidak pernah saya tonton sebelum ini. Itu antara kriteria yang saya pilih dan menarik perhatian saya.” ujar Datin Sofea Jane ketika ditanya mengapa dilihat agak selektif apabila memilih karya untuk dilakonkan.

“Filem ini wajib tonton bagi peminat setia P. Ramlee kerana ianya tidak sama dengan filem sebelum ini. Ia meraikan karya-karya tidak kira filem, penulisan dan lagu. Ianya meraikan insan yang bernama Puteh Ramli.” Tambahnya lagi.

Cabaran untuk dapatkan vibes 70an

Dalam pada itu, penglibatan Ilham Pitahati dalam pembikinan muzik untuk filem ini, memberi peluang kepada penulis dan penggubah lagu ini untuk berkolaborasi dengan ramai penyanyi dan pemuzik lain bagi menjayakan OST filem ‘Mencari Ramlee’ ini. Menurut Ilham, beliau juga mempunyai cabaran bagi mendapatkan nuasa yang berlatarbelakangkan tahun 70an.

“Cabaran saya ialah perlu mendapatkan vibes dan jiwa zaman 70an bersesuaian plot cerita. Saya terpaksa korek balik muzik-muzik seperti Ahmad Jais, Ismail Harun, mereka adalah pelopor yang mewujudkan evolusi muzik di Malaysia. Transisi tu yang saya cuba dapatkan. Tak boleh cerita lebih-lebih, tapi transisi itu adalah intipati filem ini.

“Pada era itu banyak dipengaruhi muzik dari The Beattles dijadikan panduan dalam filem ‘Mencari Ramlee’ ini. Terdapat 5 hingga 10 buah lagu yang telah siap dan boleh menjadi satu album lengkap. Lebih banyak tertumpu pada muzik klasik dalam kolaborasi menjadikan keunikan yang dapat disalurkan ke dalam filem ini.” kata Ilham mengakhiri bicara pada malam itu.

Jangan lupa nantikan kemunculan filem ‘Mencari Ramlee’ di pawagam seluruh Malaysia pada bulan September tahun ini. Sebuah filem ‘tribute’ yang banyak menyentuh konflik seorang seniman, wajib tonton!