July 27, 2024

KUALA LUMPUR : Penyanyi rock legenda, Datuk Ramli Sarip muncul dengan album solo berjudul ‘Rasa’ di kala terhentinya aktiviti seni ekoran pandemik COVID-19 yang melanda dunia. 

Susulan terbitnya album terbaharunya, bekas vokalis kumpulan Sweet Charity, menganjurkan ‘Konsert Jelajah Ramli Sarip 2022 Cinta Di Sebalik Musim’. Sempena penganjuran Konsert, set Komemoratif Emas Ramli Sarip turut diperkenalkan.

Meskipun berdepan dengan kesukaran untuk mempromosikan buah tangan terbaharunya itu namun Ramli tidak pernah putus asa dan terus memanjat doa supaya album yang disifatkan sebagai cukup istimewa itu dapat disampaikan kepada penggemar setianya. 

Ternyata doa penyanyi yang mendapat jolokan Papa Rock ini dijawab Tuhan apabila peluang untuk mempromosikan album itu datang dengan pakej yang lebih besar menerusi penganjuran ‘Konsert Jelajah Ramli Sarip 2022 Cinta Di Sebalik Musim’ bermula Oktober depan.   

Sebanyak lapan lokasi sudah dikenal pasti bermula di Persada Johor, Johor Bahru (7 Oktober), Melaka (14 Oktober), Kuala Lumpur (29 Oktober), Sabah (12 November), Sarawak (20 November) dan Kelantan (25 dan 26 November). 

Berkongsi keterujaan mengenai konsert yang bakal dijayakannya itu, Ramli memaklumkan beliau juga tidak keseorangan apabila persembahannya itu nanti turut ditemani artis undangan antaranya Datuk Nash dan Man Keedal (Kuala Lumpur), Dayang Nurfaizah (Sabah) dan Kamrulbahrin Husin (Kelantan). 

“Kadang-kadang ada penganjur yang mahukan artis jemputan untuk menyerikan lagi konsert saya dan perkara itu tak jadi masalah buat saya. 

“Dan tak salah rasanya untuk mereka sama-sama meraikan dan secara tidak langsung dapat juga saya berkongsi rezeki dengan mereka. 

“Kehadiran mereka ini juga dapat menambah warna dalam konsert itu nanti. Lagipun mereka yang diundang ini masing-masing mempunyai keistimewaan yang tersendiri,” ujarnya. 

Ramli akan ditemani beberapa orang artis undangan untuk konsertnya nanti

Menurut Ramli, dia tiada masaalah untuk bergandingan bersama artis-artis yang diundang dalam konsertnya itu nanti kerana dia sudah mengenali antara satu sama lain.

“Nash dan Man Keedal sudah sebati dengan muzik saya kerana saya pernah mencipta lagu untuk mereka. Dayang pula sejak dari dulu lagi saya sudah nampak ciri-ciri kemelayuan dalam dirinya dan kita pun pernah bekerjasama. 

“Di Kelantan, saya mengundang penyanyi tradisional, Kamrulbahrin yang boleh menerapkan elemen budaya seperti wayang kulit dalam persembahan,” katanya. 

Mengulas konsep persembahan, penyanyi kelahiran Singapura ini menjanjikan kelainan dalam setiap lokasi yang bakal disinggahinya. 

“Tak semua tempat persembahannya sama. Apa yang boleh saya beritahu, persamaannya hanyalah 70 peratus sahaja manakala 30 peratus lagi bergantung kepada situasi. 

“Selera penonton berbeza-beza kerana ada yang suka muzik yang keras, ada yang lebih menyukai tradisional dan tak kurang pula yang gemar genre puisi. 

“Walau apapun yang mereka suka, terasnya sudah tentu muzik rock, Budaya pop perlu ada,” ujar penyanyi lagu Perjalan Hidup ini. 

Man Keedal dan Nash turut menjayakan konsert jelajah Ramli Sarip

Sempena penganjuran ‘Konsert Jelajah Ramli Sarip 2022 Cinta Disebalik Musim’ dan juga sebagai apresiasi terhadap vokalis bersuara serak basah itu, pihak Silver Gold Collector Club Official Empire (SGCC) dan Ninox Idea akan berkolaborasi bersama Rasa Karya untuk menghasilkan set komemoratif emas Ramli Sarip.

Set komemoratif emas Ramli Sarip ini akan didatangkan dengan satu unit bar emas seberat 0.5 gram (ketulenan 999.9) dan akan disertakan sekali dengan album Rasa dalam bentuk edisi tehad.  

Untuk peminat Ramli Sarip, jangan lepaskan peluang untuk memilikinya kerana edisi ini hanya ada 500 set sahaja. 

Maklumat lanjut mengenai ‘Set Komemoratif Emas Ramli Sarip’ ini boleh didapati di seluruh saluran media sosial rasmi Ramli Sarip. 

Sebagai penghargaan kepada peminat yang tidak pernah jemu memberi sokongan, mereka yang membeli cakera padat (CD) dan vinyl album rasa akan mendapat diskaun menarik hanya dengan menunjukkan tiket konsert di kaunter merchandising

Tiket untuk menyaksikan konsert boleh didapati dengan melayari laman web www.ilassotickets.com.