July 27, 2024

KUALA LUMPUR – Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerima sambutan di luar jangka dengan jumlah kehadiran orang ramai membanjiri Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, menyaksikan ‘Konsert Ini Baru Bintang 4.0’, yang berlangsung Sabtu lalu.

Menampilkan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, antara artis yang menyampaikan persembahan, nyata membuktikan konsert mengangkat tema ‘Solidariti Palestin’ ini mendapat sambutan positif dengan kehadiran kira-kira 1,000 penonton.

Merupakan kesinambungan daripada penganjuran Konsert Ini Baru Bintang 3.0 sebelum ini, RTM optimis dengan pemilihan lagu-lagu bertemakan keamanan sejagat dan ketuhanan membuktikan RTM turut sama berduka dengan situasi yang dialami rakyat Palestin. 

Sepanjang dua jam setengah bersiaran, persembahan bermula dengan menampilkan lagu ‘Assalamualaikum’ nyanyian asal Faizal Tahir yang disampaikan oleh Haqiem Rusli, Ayie Floor 88, Zahid dan Koir Kebangsaan.

Umpama mengubat rindu, kemunculan Raisuddin Hamzah mendendangkan lagu bertajuk ‘Suatu Masa’ mendapat sambutan baik penonton kepada penyanyi dan pelakon era 80an ini.

Seterusnya giliran penyanyi Sharifah Zarina membuat persembahan menyanyikan lagu Dawai, runut bunyi bagi filem Air Mata Di Ujung Sejadah yang menjadi fenomena dan tular di media sosial ketika ini. Diikuti lagu ‘Langit Ke Tujuh’ yang pernah mempopularkan bekas naib juara Bintang RTM 1999.

Penonton dibuai dengan irama seksofon lagu ‘Heal The World’, oleh peniup saksofon terkenal, Jaffar Abd Rahman atau Jari.

Kemunculan penyanyi asal Sabah, Zizi Kirana mendapat tepukan gemuruh penonton menyanyikan lagu ‘Sedih Hati’ yang dipopularkan Malique dan diikuti lgu ‘Atouna El Toufoule’ diiringi koir kebangsaan dan anak-anak Palestin daripada Palestin Forum Malaysia.

Kolaburasi dua penyanyi, Santesh dan Daniel Sher, juga tidak kurang menariknya mendendangkan lagu bertajuk ‘Zombie’ dan alunan lagu ‘Tergantung Sepi’ oleh Haqiem Rusli. Kemudiannya mengambil tempat menghiburkan penonton, Zahid dengan lagu ‘Laskar Cinta’; Ayie Floor 88 lagu ‘Rapuh’, dan gandingan harmoni lagu ‘Where Is The Love’ oleh Zahid, Santesh, dan Daniel Sher.

Konsert yang menampilkan hos Awal Ashaari ini bertambah satu oktaf lagi dengan kemunculan penyanyi tersohor Dayang Nurfaizah menyampaikan lagu ‘Greatest Love of All’ bersama Koir Kebangsaan diikuti medley ‘Seandainya Masih Ada Cinta’, ‘Di Pintu Syurga’, dan ‘Lelaki Teragung’.

Kemuncaknya tiba jua dengan persembahan memukau Datuk Siti Nurhaliza dengan dendangan lagu ‘Sehebat Matahari’, seterusnya medley lagu-lagu popular seperti ‘Azimat Cinta’, ‘Bicara Manis Menghiris Kalbu’ dan ‘Aku Bidadari Syurgamu’.

Suara penyanyi tersohor negara ini melantunkan bait-bait lirik lagu ‘Oda Bumi Anbiya’ sememangnya kena tepat pada waktunya dengan semua penonton mendoakan kejayaan rakyat Palestin yang sedang berjuang mempertahankan Bumi Anbiya. 

Kesemua artis yang membuat persembahan kemudiannya disatukan vokal mereka dalam lagu ‘We’re The World’ sebagai penutup tirai konsert.

Terdahulu RTM telah menerbitkan tiga siri menghimpunkan kemunculan bintang-bintang tersohor kelahiran RTM bermula Konsert Ini Baru Bintang 1.0 pada bulan Julai lalu, Konsert Ini Baru Bintang 2.0 (September) dan Konsert Ini Baru Bintang 3.0 berlangsung meriah Oktober lalu.

Sempena penjenamaan semula Bintang RTM 2024, RTM tampil dengan konsert istimewa, Konsert Ini Baru Bintang yang meraikan insan kreatif yang lahir daripada program nyanyian dan bakat terbitan stesen penyiaran stesen penyiaran kerajaan ini.

Turut serta menyaksikan Konsert Ini Baru Bintang 4.0, Timbalan Ketua Setiausaha Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif, Kementerian Komunikasi dan Digital, Nik Kamaruzaman Nik Husin.