November 17, 2024

Oleh: Lord Fuhrer

Banyak persoalan timbul sebelum pelancaran album From Zero. Adakah Linkin Park patut bersatu kembali selepas kematian Chester Bennington? Ada juga kontroversi tentang vokalis baru, Emily Armstrong, termasuk dakwaan penglibatannya dengan agama Scientology dan sokongannya terhadap pelaku jenayah seperti Danny Masterson. Ini menyebabkan ramai mempersoalkan keputusan Mike Shinoda untuk mengambilnya sebagai vokalis utama. Namun, jika kita ketepikan semua isu ini, persoalan utama tetap sama: adakah From Zero akan berjaya, atau adakah ia hanya membuktikan bahawa Chester adalah segala-galanya bagi kumpulan nu-metal hebat dunia ini?

Jawapannya: From Zero adalah satu kejayaan.

Album ini menjadi kebangkitan hebat untuk Linkin Park, sebuah kumpulan yang sering dihormati tetapi selalu juga dikritik. Intro pembukaan dan lagu “The Emptiness Machine” menetapkan sound keseluruhan album ini. Ia membawa LP kembali ke akar muzik mereka, tetapi dengan pengaruh genre muzik industrial yang agak mengejutkan! Lagu seperti “Heavy Is The Crown,” “Casualty,” dan “IGYEIH” menampilkan kebolehan Emily Armstrong sebagai vokalis, terutama jeritannya yang penuh tenaga, yang membuatnya tampak seperti sebahagian dari kumpulan ini sejak dulu. “Heavy” bahkan menampilkan jeritan 15 saat yang luar biasa!

Sebaliknya, lagu seperti “Overflow” dan “Over Each Other” menunjukkan sisi lembut Linkin Park, menyerupai gaya album One More Light tetapi dengan sentuhan yang lebih mentah. Dari segi instrumental, “Casualty” menjelajah ke dunia punk hardcore, sementara “Stained” dan “Two Faced” mengembalikan nostalgia era Hybrid Theory dan Meteora. Dalam “Two Faced,” Joe Hahn tampil lebih menonjol dengan turntable-nya, dan Mike Shinoda mempamerkan rap yang kuat seperti zaman Living Things. Gitar oleh Brad Delson dan bass oleh Dave Farrell pula mencipta riff yang paling mengagumkan sepanjang diskografi rekod mereka, terutama dalam “The Emptiness Machine” dan “IGYEIH.” Secara keseluruhan, kumpulan ini memberikan 100% komitmen terbaik mereka untuk membuktikan bahawa From Zero lebih daripada sekadar “projek duit,” tetapi satu kebangkitan semula yang agung yang ditunggu-tunggu terutama dari para peminat kental mereka.

Walau bagaimanapun, kelemahan utama album ini adalah pada Colin Brittain, pemain dram baru. Walaupun permainannya cukup baik, ia tidak mencapai potensi penuh dan kadang-kadang membuat bahagian instrumental terasa kurang bertenaga.

Dari segi lirik, From Zero ada bahagian yang kuat dan bermakna, seperti dalam lagu penutup “Good Things Go” dengan baris, “Only you can save me from my lack of self-control/Sometimes bad things take the place where good things go.” Namun, ada juga lirik yang kurang menarik, seperti dalam “Cut The Bridge” dengan frasa klise seperti, “Everything was perfect/Always made me nervous/Knowing you would burn it/ Just to watch it burn.” Walaupun begitu, kekuatan muzik album ini membantu mengimbangi kelemahan pada beberapa bahagian lirik.

Dari segi produksi, percubaan LP menerapkan elemen muzik industrial dalam album ini ternyata membuahkan hasil yang cukup terbaik, dengan Mike Shinoda, Brad Delson, dan Colin Brittain menghasilkan bunyi yang utuh dan dinamik. Walaupun From Zero tidak memberikan kepada kita sesuatu yang benar-benar baru, namun ia tidak perlu – album ini adalah tentang kebangkitan semula dan penghormatan kepada Chester Bennington. Ia adalah sebuah album “selamat kembali” yang luar biasa untuk Linkin Park, membuktikan bahawa mereka masih mampu mencipta seni dengan penuh bertenaga.

Kesimpulannya, From Zero adalah album yang layak mendapat pujian, bukan hanya sebagai karya muzik tetapi sebagai simbol keberanian untuk bangkit semula. Tahniah kepada Linkin Park atas kebangkitan mereka!