KUALA LUMPUR, 7 Julai 2025 – Selepas mencipta fenomena di media sosial menerusi watak “Yah Kuchai” yang tular dalam drama bersiri arahan Allahyarham Mamat Khalid, pelakon dan personaliti dikenali sebagai Yah! atau nama sebenarnya Afea Deanna Baharudean kini mengorak langkah baharu dalam dunia seni sebagai penyanyi dan penulis lagu.
Yah! secara rasmi melancarkan single sulungnya berbahasa Inggeris berjudul My Song To You pada Jun lalu di semua platform penstriman digital, selepas ia diperkenalkan terlebih dahulu di TikTok pada Mei 2025. Lagu ini bukan sekadar debut muzik, tetapi juga satu manifestasi emosi dan penghargaan terhadap insan-insan yang pernah hadir dalam hidupnya.
Ditulis sendiri oleh Yah! bersama gandingan tiga komposer dikenali sebagai Ku Yen, Barr Hadif dan Rudy Nastia. My Song To You merupakan luahan yang menyentuh perasaan, menggambarkan cinta, pemulihan diri, dan harapan.
“Menulis lagu ini sangat peribadi buat saya. Ia tentang cinta, penghargaan, dan juga satu bentuk pemulihan diri. Saya mahu orang yang mendengar lagu ini rasa disayangi dan difahami, walaupun mereka berada jauh atau sedang melalui waktu sukar,” ujar Yah! yang kini berusia 27 tahun.

Lagu ini turut mencerminkan sisi lain Yah! yang mungkin tidak diketahui ramai bahawa minat mendalam terhadap penulisan Bahasa Inggeris yang diasah sewaktu mengikuti jurusan Teaching English as a Second Language (TESL) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
“Menulis dalam Bahasa Inggeris adalah sesuatu yang semula jadi bagi saya, dan saya mahu manfaatkan kelebihan itu untuk menyampaikan cerita-cerita dari hati,” katanya.
Diterbitkan di bawah kerjasama dua label muzik iaitu Buduck Records dan Sony Music Malaysia — My Song To You menjadi pelantar permulaan rasmi Yah! dalam dunia muzik, dengan harapan untuk menembusi pasaran antarabangsa.
“Saya tahu ini hanya permulaan, tapi saya berharap lagu ini boleh menjadi jambatan antara saya dan pendengar dari seluruh dunia. Saya mahu orang luar tahu, Malaysia juga punya suara dan cerita yang berbaloi untuk dikongsi,” katanya penuh semangat.
Anak kelahiran Johor ini juga menegaskan bahawa penglibatannya dalam muzik bukan sekadar eksperimen atau trend sesaat, sebaliknya satu komitmen jangka panjang yang lahir daripada impian yang dipendam sejak sekian lama.
“Saya harap peminat yang mengenali saya sebagai pelakon akan terus menyokong saya dalam fasa baharu ini. Ini bukan percubaan suka-suka dan ini adalah impian sebenar yang saya mahu jadikan kenyataan,” katanya menutup bicara.