KUALA LUMPUR: TV AlHijrah memperkukuhkan kedudukannya sebagai stesen televisyen yang menyebarluas dakwah dengan membawakan sebuah program realiti mengaji al-Quran yang dikenali sebagai Akademi Qurra’.
Tirai episod pertama Akademi Qurra’ dibuka malam tadi dengan pengenalan 12 orang peserta yang terdiri daripada 7 orang peserta lelaki dan 5 orang peserta wanita. Kesemua barisan qari dan qariah ini dikenali sebagai Tilmiz dan Tilmizah Akademi Qurra’ sepanjang rancangan ini bersiaran 8 minggu.
Menurut Pengurus Penjenamaan dan Kajian Pengguna TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar, berbekalkan kecintaan yang mendalam terhadap al-Quran, 12 peserta berumur dalam lingkungan umur 18 hingga 40 tahun akan berusaha mempelajari lenggok bacaan al-Quran, ilmu taranum, tajwid, fasohah dan teknik kawalan suara.
“Mereka adalah Muhammad Akasyah Md Yunos (18 tahun, Selangor), Muhamad Nurfahmi Zainal (23 tahun, Negeri Sembilan), Muhammad Nur Faridzuan Basar (20 tahun, Johor), Saifullah Khanip Rofli (19 tahun, Pahang), Muhammad Nur Zuhdi Mohd Daud (25 tahun, Johor), Adam Hakimi Khairulnizam (18 tahun, Kedah) dan Abdullah Afif Mohd Ariffin (22 tahun, Melaka).
“Manakala barisan Tilmizah pula adalah Aina Syafiyah Selamat (22 tahun, Melaka), Nik Maghfirah Nik Abd Rahman Zaki (19 tahun, Kelantan) Nurnazhirah Shaharudin (24 tahun, Selangor), Nooraini Abdullah (40 tahun, Selangor) dan Nur Ain Syahirah Shaifullah (21 tahun, Kelantan).
“Walau kesemua Tilmiz dan Tilmizah adalah muka baru dalam dunia taranum al-Quran, mereka mempunyai bakat yang sangat besar untuk menyatukan ummah dengan al-Quran. Mereka adalah harta ummah yang sedang digilap untuk menjadi permata yang menyinari dunia dakwah.
“Saya menjangkakan program Akademi Qurra’ akan meraih kumpulan penontonnya yang tersendiri sekaligus menjadi penanda aras baru dalam penerbitan rancangan realiti berkonsepkan mengaji al-Quran. Pihak juri sendiri mencadangkan agar sesi bacaan para peserta dipanjangkan untuk memberi masa secukupnya kepada peserta mengalunkan jenis-jenis tarannum yang diberikan. Malahan cadangan ini disambut baik penonton di kaca televisyen dan di media sosial.” Jelas Zulkarnaen.
Episod pengenalan yang juga disiarkan menerusi Facebook Live dan aplikasi Alhijrah Plus meruntun jiwa penonton apabila peserta paling berusia iaitu Tilmizah Nooraini, seorang doktor perubatan berkongsi kisah yang memotivasikan dirinya untuk bergelar Tilmizah walaupun sudah berusia 40 tahun.
Tilmizah Nooraini diuji dengan kepayahan dah dugaan membesarkan anak kesayangannya yang merupakan pesakit kanser leukimia.
“Apabila berada di puncak kerjaya, cita-cita saya untuk terus meneroka bidang perubatan terhenti apabila anak saya disahkan menghidapi leukimia. Saya mencari sesuatu yang boleh menenangkan jiwa pada waktu itu. Akhirnya, saya temui kedamaian di dalam kelas pengajian taranum online,” kongsinya selaku peserta kedua yang diuji juri jemputan iaitu Ustaz Amirahman Abas dengan bacaan dari surah Al-Isra menggunakan taranum Bayyati Husaini dan Nahawan.
Untuk rekod, program Akademi Qurra’ disiarkan pada setiap Sabtu, jam 9 malam. Program ini diadili sepenuhnya oleh seorang juri tetap iaitu Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman dan juri jemputan berbeza pada setiap minggu. Manakala Mudarris dan Mudarrisah yang akan menjadi tulang belakang membimbing kesemua peserta pula adalah Ustaz Ammar Mukhlis, Ustazah Farhatul Fairuzah dan Ustazah Sofizah Mousin. Program ini juga menampilkan Fakhrul UNIC selaku pengacara rancangan.
Akademi Qurra’ episod pertama melabuhkan tirainya dengan dua berita baik. Fakhrul UNIC mengumumkan tiada penyingkiran di minggu pertama bagi memberi peluang kepada kesemua peserta untuk terus menimba ilmu di minggu seterusnya. Selain itu, doa khas memperkukuh solidariti terhadap al-Quran turut dibaca Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman di penghujung rancangan bagi menyatakan sokongan terhadap inisiatif kerajaan Malaysia yang menggantikan senaskhah al-Quran yang dibakar dengan sejuta naskhah al-Quran yang lain.