April 22, 2024

KUALA LUMPUR – Pemergian orang tersayang terutama ibu bapa semestinya satu pengalaman yang cukup pahit untuk ditelan. Belum puas bermanja dan masih dambakan kasih sayang mereka, dugaan perit begitu pasti meninggalkan ruang kosong dalam hati.

Kekosongan itu turut berbekas dalam hati penyanyi meningkat naik, Ajoi Zainal. Pada usia 24 tahun, dia sudah kehilangan kasih sayang seorang insan yang bergelar ayah. Sekuat mana pun dia melangkah, pemergian arwah bapanya masih diratapi.

Dek kerana kerinduan yang masih mendalam, Ajoi turut mendedikasikan lagu baharunya yang berjudul ‘Jaga Dia’. Bukan enggan menerima kenyataan, namun dia berharap agar dapat bertemu, mencium tangan, dan bermanja dengan bapanya meski dalam mimpi.

Ajoi Zainal

“’Jaga Dia’ berkisar seorang anak yang sangat merindu arwah bapanya. Rindunya tidak pernah surut dan berharap dapat bertemu bapanya untuk menikmati momen dan memori terindah walau dalam mimpi. Lagu ini ditujukan khas untuk arwah bapa saya,” katanya.

Justeru, aliran emosi Ajoi sewaktu merakamkan ‘Jaga Dia’ juga mengalir sempurna dalam keseluruhan lagu ini. Setiap bait lirik yang diungkapkannya hadir dengan begitu luhur dari rasa cinta seorang anak kepada bapanya.

Hakikatnya, wajah bapa tersayangnya berlegar dalam fikiran sepanjang masa sewaktu merakamnya. Bahkan, dia sempat mengimbas kenangan paling manis sewaktu bapanya masih hidup yang takkan pernah dia lupakan.

“Disebabkan lagu ini dicipta dan ditulis oleh saya, emosi itu datang secara semula jadi. Prinsip saya dalam nyanyian, jika saya tak faham keseluruhan sesebuah lagu itu, maka saya tak akan menyanyi.

“Semestinya sewaktu rakaman, melodi dan lirik ini mengingatkan saya kepadanya setiap masa. Saya masih ingat lagi sewaktu ayah selalu menjerit nama saya setiap kali beraksi di pentas. Ayah adalah tulang belakang paling besar dalam hidup saya,” katanya.

Mutakhir ini, nama Ajoi juga semakin meraih perhatian berikutan kerap memuat naik nyanyian ‘cover version’ pelbagai lagu baik tempatan atau antarabangsa. Sekali gus, pengikutnya bertambah terus selain bakatnya mendapat pujian.

Ajoi Zainal

Namun begitu, dia sangat berbesar hati sekiranya sokongan padu itu berterusan dengan pelancaran lagu ‘Jaga Dia’. Paling penting, dia berharap karya sendirinya itu mampu menyentuh hati pendengar pelbagai lapisan umur.

“Saya harap lagu pertama ciptaan saya ini diterima ikhlas di setiap peringkat umur. Semua mempunyai bapa dan pernah ada bapa. Semoga, semua dapat teruskan sokongan terhadap saya dan Insya-Allah saya akan terus tampil dengan karya lain pula selepas ini,” katanya.

Ajoi bukanlah nama asing dalam industri muzik tempatan dan pernah mencuba nasib dalam pelbagai pertandingan nyanyian. Ajoi pernah bertanding di Bintang RTM 2018, menjuarai Cover Star ERA anjuran stesen radio nombor 1 Malaysia radio ERA dan menyertai program All Together Now Malaysia.

Bagaimanapun, kemunculan terbarunya dalam program Big Stage musim kelima benar-benar membuka lembaran baharu dalam kariernya. Meskipun tersingkir di peringkat separuh akhir Big Stage 2022, Ajoi berjaya tonjolkan kemampuan sebenarnya sebagai seorang penghibur sejati.

‘Jaga Dia’ boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.

Jaga Dia – Official music video