Drama OTT sempena Aidilfitri 2025, ‘Kepulangan Tak Dinanti’ Di RTMklik

KUALA LUMPUR, 27 Mac 2025 – Radio Televisyen Malaysia (RTM) terus mengorak langkah dalam dunia penstriman digital dengan menerbitkan drama mikro khas sempena Aidilfitri 2025. Drama berdurasi 15 minit bertajuk Kepulangan Tak Dinanti bakal menghiburkan penonton menerusi platform Over-The-Top (OTT) RTM, RTMKlik (rtmklik.rtm.gov.my), dengan tayangan perdana pada malam raya.

Diarahkan oleh Zarool Fahmee Khairuddin, drama bersiri 10 episod ini mengetengahkan jalan cerita yang penuh dengan emosi dan nilai kekeluargaan, tetapi disampaikan dengan elemen santai dan komedi. Berbeza dengan kebanyakan drama raya yang sarat dengan elemen kesedihan, Kepulangan Tak Dinanti hadir dengan pendekatan lebih ringan namun tetap menyentuh hati penonton.

Menariknya, drama ini menggunakan loghat Perak sebagai elemen unik dalam penceritaannya. Proses penggambaran telah dijalankan selama empat hari pada bulan Februari lalu dan menampilkan barisan pelakon hebat seperti Faha Azhar, Ares Bahar, serta Datuk Fauziah Nawi. Turut serta dalam drama ini ialah Khatijah Tan, Fathil Dani, Dewa Sapri, Akmal Ahmad, Man Belon, Yah Kuchai, Adriana Yusman, dan Azirah Khairuddin.

Sinopsis

Kepulangan Tak Dinanti mengisahkan Zam, seorang pemuda yang sudah tiga bulan tidak pulang ke kampung kerana kecewa dengan keputusan ibunya untuk berkahwin semula. Namun, sehari sebelum Ramadan berakhir, dia akhirnya berubah fikiran setelah dipujuk oleh teman serumahnya.

Kepulangan Zam ke kampung pada pagi raya bagaimanapun membawa kejutan besar. Rumah ibunya kosong dan tidak terjaga, menimbulkan sangkaan bahawa ibunya telah meninggal dunia. Perasaan bersalah dan sedih menguasai dirinya, namun tanpa disangka, ibunya sebenarnya masih hidup dan kini menetap bersama anak sulungnya di Kuala Lumpur.

Dengan jalan cerita yang penuh emosi tetapi disulami komedi santai, Kepulangan Tak Dinanti menjanjikan pengalaman menonton yang menghiburkan serta sarat dengan pengajaran. Jangan lupa saksikan drama ini secara eksklusif di RTMKlik pada malam raya!