July 14, 2024

KUALA LUMPUR – Minatnya terhadap muzik membawa gadis jelita ini menceburkan diri dalam bidang seni suara. Tidak hanya bergelar penyanyi semata-mata, Eriza mahu bakat dimiliki dikongsi bersama.

Membuat kemunculan menerusi single Demi Kasih pada Oktober lalu, Eriza, 21, atau nama sebenar Ismar Eriza Allya tidak menunggu lama untuk melancarkan single kedua berjudul Delusi.

Sama seperti single terdahulu, lagu Delusi terbitan D’Ayu Music ini turut menampilkan komposer dan penulis lirik sama iaitu Datuk Ayu Omel.

Menurut Eriza, lagu Delusi ini mewakili perasaan wanita yang terperangkap dalam hubungan penuh duri.

“Lagu ini menggambarkan perasaan kekecewaan dan kesedihan seorang wanita dalam perhubungan bersama pasangannya. Perbuatan pasangannya itu mengakibatkan kehancuran dari sudut emosi wanita itu kerana perlakuan pasangannya yang berulang kali.

“Melalui lirik lagu ini, kita dapat rasa betapa perlakuan yang berulang kali daripada pasangan membuat hati hancur. Saat mendengarkan lagu ini, alunan muzik yang penuh kesedihan membawa kita larut dalam emosi. Kita boleh merasakan betapa hati terluka dan bersedih oleh tindakan pasangannya yang tidak bertanggung jawab.

“Lagu ini juga menunjukkan betapa pentingnya komunikasi dan saling pengertian dalam sebuah hubungan. Perlakuan buruk atau berulang kali dari pasangan dapat menyebabkan keretakan emosional, bahkan menghancurkan rasa cinta dan kepercayaan di antara dua orang,” katanya.

Melodi lagu yang disulami dengan bait-bait lirik yang kuat dan penyampaian vokal yang tulus, lagu ini mampu membuat pendengar merenung mengenai pentingnya menjaga hati satu sama lain dalam sebuah hubungan.

Berkongsi lanjut, Eriza yang juga pelakon filem Harum Malam berkata, dia mula jatuh cinta dengan lagu Delusi ini ketika mula mendengar demo lagu itu.

“Ketika mendengar demo lagu ini, saya sangat teruja kerana lagu ini mempunyai kelaianannya sendiri. Lagunya agak pendek, tetapi maksud lagu ini sampai apabila mendengarnya.

“Ketika menyanyikan lagu ini, saya rasa agak susah kerana ia bukan sekadar perlu menyanyi, tetapi perlu disampaikan seperti bercerita mengenai luahan wanita ini. Jadi, saya perlu letakkan saya seperti di dalam situasi wanita itu, barulah saya boleh sampaikan lagu ini dengan berkesan.

“Lagu boleh menjadi pengingatan kepada kita semua untuk selalu memperlakukan pasangan dengan baik, menghindari perlakuan buruk atau sikap egois. Jadi, jika ada wanita yang sedang mengalami situasi serupa atau ingin lebih memahami perasaan seseorang dalam hubungan sulit seperti itu, lagu ini mungkin boleh memberikan perspektif baru bagi anda,” katanya.

Tidak hanya ketika sesi rakaman lagu, Eriza berkata proses pembikinan video muzik (MV) juga memerlukan dia bermain dengan emosi.

“Ini adalah lagu kedua saya. Penyampaian MV juga berlainan dengan lagu Demi Kasih sebelum ini kalau kita lihat MV itu kita membuat jalan cerita, tetapi untuk MV kali ini lebih kepada permainan emosi.

“Di dalam MV ini juga kelaianannya adalah saya sudah membuat keputusan untuk bertudung. Jadi imej saya juga sudah berubah. Persiapan imej itu juga mengambil masa yang agak lama untuk saya sesuaikan dengan imej baru ini dalam MV ini. Doakan saya juga untuk saya terus kekal dengan imej ini, Insya-Allah.

“Cabaran ketika proses MV ini adalah permaianan emosi yang saya perlu tampilkan. Kerana kita perlu tunjukkan walaupun lagu ini menunjukkan perasaan seorang wanita yang sedih, dalam masa yang sama juga wanita ini seorang yang kuat. Jadi di dalam MV ini kita tidak menunjukkan wanita itu sifatnya lemah,” katanya.

Sama seperti lagu Demi Kasih, Eriza juga berharap Delusi dapat diterima baik pendengar dan pencinta muzik tanah air.

“Saya tiada masalah berkerja dengan produksi ini terutama pengarahnya iaitu, Azaromi Ghozali, kerana saya pernah berkerja dengannya sebelum ini dalam sebuah filem. Jadi keserasian itu sudah ada kerana dia faham cara kerja saya dan saya juga faham dengan cara kerjanya. Sebelum penggambaran juga saya berjumpa dengannya, dan kita saling bertukar pendapat bagaimana untuk visualkan MV ini.

“Jadi, saya berharap pendengar akan sama-sama dengan saya menghayati kisah luahan wanita ini seperti kita yang di dalam situasi itu,” katanya.

Lagu Delusi sudah boleh didengar di semua paltform muzik digital dan MV boleh ditonton di saluran YouTube D’Ayu Music.