
KUALA LUMPUR, 13 Mac – Filem epik “6 Jilake” secara rasmi dilancarkan dalam satu majlis gilang-gemilang di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC) semalam. Acara ini turut diserikan dengan majlis berbuka puasa dan sumbangan Ramadan kepada golongan ibu asnaf dan anak yatim sebagai sebahagian daripada usaha kebajikan penerbit filem ini.

Diterbitkan oleh Eartistic Entertainment dan Grand Brilliance Studio, “6 Jilake” menampilkan kombinasi aksi, sejarah, dan elemen komedi dalam penceritaannya. Filem ini diarahkan oleh pengarah tersohor, Aziz M Osman, dengan barisan pelakon hebat termasuk Amerul Affendi, Bell Ngasri, Saiful Apek, Asmidar, Kazar Saisi, Kamarool Hj Yusof, Jalil Hamid, Wan Raja, Mamak Puteh, Wan Gegau, dan Laura Olivia. Filem ini dijadualkan tayangannya pada 24 April 2025.
Penerbit filem “6 Jilake”, Dr. Shasa Aziz, yang juga seorang pakar pendengaran, berkongsi bahawa penglibatannya dalam dunia perfileman merupakan satu perkembangan semula jadi bagi dirinya yang sejak kecil mempunyai minat mendalam dalam bidang seni dan hiburan.

“Sejujurnya, saya tidak menyangka akan menerbitkan filem ini. Tetapi apabila Aziz M Osman mengajak saya untuk menyertainya, saya menerima cabaran ini kerana percaya bahawa ‘6 Jilake’ adalah sebuah karya yang luar biasa,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran.
Menurut Dr. Shasa, “6 Jilake” bukan sekadar filem aksi biasa tetapi turut menyelitkan elemen sejarah dan budaya tempatan. “Saya mahu penonton merasakan pelbagai emosi ketika menonton filem ini – ada babak yang membuatkan mereka ketawa, sedih, dan bangga,” tambahnya.
Filem ini berlatarbelakangkan abad ke-18 di Perak, ketika Syarikat Hindia Timur Belanda berusaha memonopoli sumber bijih timah. Mereka mengupah sekumpulan samseng yang digelar “6 Jilake” untuk mengawal kawasan lombong, namun terhalang oleh seorang pendekar handalan yang mempertahankan kampungnya.

Saiful Apek, yang memegang watak antagonis utama, berkongsi pengalamannya berlakon dalam filem ini. “Ini pengalaman yang mencabar. Saya diberikan watak ketua kumpulan 6 Jilake, seorang penjahat yang serius. Arahan Abang Aziz sangat jelas – walaupun ini filem komedi, ia perlu kelihatan serius apabila dilihat tanpa bunyi,” katanya.
Beliau turut mendedahkan cabaran dalam menjalani babak aksi, terutama menggunakan senjata sebenar. “Kami menggunakan senjata asli dalam beberapa adegan pertempuran, jadi keselamatan sangat dititikberatkan,” jelasnya.

Dengan kombinasi jalan cerita yang menarik, barisan pelakon berbakat, dan sentuhan khas Aziz M Osman, “6 Jilake” dijangka menjadi filem yang mencetus fenomena apabila ia ditayangkan di pawagam pada 24 April ini. Para peminat filem tempatan digalakkan untuk tidak melepaskan peluang menyaksikan filem ini yang menjanjikan hiburan berkualiti dengan elemen budaya dan sejarah yang unik.