May 17, 2024

KUALA LUMPUR – French Kiwi Juice atau lebih dikenali sebagai FKJ, bakal beraksi di Kuala Lumpur pada 26 Julai ini dalam konsert siri jelajah musim panas 2023. Dianjurkan oleh Neptune Presents, dengan kerjasama Rockstar Touring dan LAMC Productions, konsert artis instrumentalis global yang berasal dari Perancis ini akan berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Ianya merupakan sebahagian dari konsert siri jelajah musim panas 2023 –2023 Asia tour, yang bermula pada awal tahun ini, menyaksikan FKJ menghiburkan para peminatnya di negara-negara Asia seperti India, Indonesia, Korea Selatan, Taiwan, Thailand, Hong Kong, dan Filipina. Kini, dengan inisiatif Neptunes Presents, Malaysia juga telah disenaraikan di dalam negara-negara yang bakal dilawati.  

Pada April tahun ini, FKJ telah memberikan persembahan yang sangat mengagumkan di hadapan ribuan peminatnya dengan set intrumental elektronik yang unik buat FKJ di festival muzik Coachella 2023 bertempat di Amerika Syarikat.

FKJ telah melancarkan album studionya berjudul ‘Vincent’ pada Jun tahun lepas. Album tersebut mengandungi single yang amat popular iaitu ‘Greener’ yang juga menampilkan Carlos Santana. Turut dimuatkan adalah kolaborasi bersama Toro y Moi dalam lagu ‘A Moment of Mystery’ dan ‘Can’t Stop’ bersama band elektronik dari Sweden, Little Dragon.

Konsert FKJ merupakan sebahagian dari konsert siri jelajah musim panas 2023

Pada 2015 dan 2017, FKJ telah membawa impak besar di Malaysia dengan persembahan di Como dan The Bee, Publika dan pada Julai ini, peminatnya serta peminat-peminat muzik berpeluang sekali lagi untuk menyaksikan kehebatan FKJ secara live. 

Tiket-tiket berharga RM298 sehingga RM508, boleh dibeli melalui laman sesawang www.myticketempire.com.