‘Here I Am’: Rossa Kembali dengan Konsert Penuh Kolaborasi dan Kejutan

KUALA LUMPUR, 23 April 2025 – Penyanyi tersohor Indonesia, Dato’ Sri Rossa Roslaina atau lebih dikenali sebagai Rossa, bakal menggegarkan Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun ini menerusi konsert berskala besar bertajuk “Here I Am”.

Konsert anjuran Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Inspire Production dengan sokongan promosi Sah Entertainment ini mendapat tajaan utama daripada USANITA Entertainment serta kerjasama strategik daripada Maybank, Sunway Putra Hotel dan Saloma Kuala Lumpur.

Menurut Rossa, “Here I Am” menjanjikan sebuah persembahan yang segar dan berbeza daripada konsert-konsert terdahulu, dengan pelbagai elemen kejutan, kolaborasi istimewa dan konsep kreatif.

“Konsert ini bukan sekadar hiburan, ia adalah manifestasi perjalanan seni saya. Saya bawakan rakan artis dari Indonesia dan Malaysia seperti Ariel Noah, Dipha Barus, Ernie Zakri serta MK K-Clique bagi menjadikan malam itu lebih bermakna,” katanya.

Rossa turut memilih sendiri semua artis jemputan, termasuk Top 4 One In A Million (OIAM 2024) yang akan tampil membuat persembahan bersama beliau.

“Saya ingin berkongsi pentas dengan mereka. Sebagai artis senior, saya mahu mereka merasai sendiri pengalaman beraksi dalam sebuah konsert berskala besar,” ujarnya di sidang media yang diadakan di Restoran Saloma Kuala Lumpur, hari ini.

Tambah Rossa, tajuk konsert itu sendiri adalah cerminan pencapaian dan legasi seni beliau selama ini. Ia menyusuli kejayaan jelajah konsert beliau sebelum ini – Rossa 25 Shining Years (2022) dan Another Journey: The Beginning (2023) – yang telah menarik lebih 80,000 penonton di tiga negara.

Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato’ Aizuddin pula berkata, konsert ini akan terus memperkukuh kerjasama strategik antara PRIHATIN dan Dato’ Sri Rossa dalam misi kebajikan sejak 2012.

“Sebahagian hasil jualan tiket akan disalurkan ke Tabung Kasih Prihatin bagi membantu golongan memerlukan dalam bidang pendidikan. Kami turut menggalakkan syarikat korporat dan individu menyokong usaha ini dengan pembelian tiket kategori Royale, First Class dan Executive,” katanya.

Harga tiket konsert bermula dari RM228 (kategori Festival) hingga RM788 (Diamond Center), tidak termasuk cukai dan yuran pentadbiran. Pemegang kad kredit dan debit Maybank bakal menikmati diskaun sebanyak 8% dan 5% masing-masing.

Tiket boleh didapati melalui platform atas talian www.ticket2u.com atau secara langsung melalui wakil jualan korporat di talian 019-288 9764 (Pn. Cik Rohaiza) atau emel ke ro***@*************in.com.

Selain Malaysia, konsert “Here I Am” juga dijadual berlangsung di Indonesia dan Singapura, dengan pentas Singapura dijangka menyusul pada penghujung tahun ini.