November 13, 2024

Asia Empire Records Malaysia telah melancarkan single terbaru dan muzik video rasmi HITAM oleh kumpulan OTWO. 

Menariknya untuk permulaan single ini, pada tanggal 1 Mac lalu, HITAM telah dilancarkan di Indonesia dengan lebih dari 40 buah siaran radio di Indonesia telah memutarkan single ini. Setelah berjaya menembusi pasaran Indonesia OTWO turut dijemput untuk di temubual secara eksklusif di beberapa surat khabar serta di beberapa stesen radio di sekitar Indonesia. Dengan permulaan tahun 2022 yang baik ini, OTWO sudah mula membuat perancangan untuk membuat siri jelajah di Indonesia setelah kes Covid19 kembali melandai.

Lirik HITAM ditulis oleh ALAN, ANEP dan IZAN (OTWO) dan lagu HITAM adalah ciptaan sepenuhnya oleh ALAN (OTWO) manakala struktur muzik dan penyusunan lagu dilakukan sepenuhnya oleh OTWO sendiri. Susunan bunyian strings oleh RUDY NASTIA, lagu ini telah dirakamkan di studio rakaman Asia Empire Records manakala proses adunan dilaksanakan oleh Anep & Alan (OTWO).

Single HITAM ini juga telah menarik minat para pengarah telefilem di Malaysia di mana untuk telemovie ‘AYAHKU ADIWIRA’ lagu ini telah dipilih menjadi lagu runut bunyi (OST) utama untuk telefilem arahan Bronko (Wan Det Production) tersebut. Manakala untuk telefilem kedua iaitu ‘ALONG’, lagu HITAM turut dipilih untuk menjadi lagu runut bunyi (OST) sisipan untuk produk yang diterbitkan oleh Tuan Haji Yusri (LAYAR CONSULT SDN BHD). Kedua-dua telefilem ini akan menemui penonton pada tahun ini.

Kumpulan OTWO merupakan artis naungan Asia Empire Records Malaysia di mana ROCKET FUEL merupakan pengedar digital rasmi untuk single HITAM.

Untuk infomasi, sebelum ini single KHAYALAN MAYA pernah menjadi lagu runut bunyi (OST) untuk filem ‘XXRAY 3’ arahan Aziz M Osman. Pada tahun ini sekali lagi OTWO diberikan tugasan untuk mencipta lagu runut bunyi  khas untuk filem seram filem pertama produksi Intan Ladyana berjudul ‘Banglo Seksyen 12’ yang akan berada di panggung pada tahun ini.

Muzik video HITAM telah berjaya meraih hampir 150,000 tontonan dalam masa 2 minggu tayangan di YouTube melalui saluran rasmi Asia Empire Records, dan kini jumlah tontonan video mereka terus bertambah.

Menyentuh tentang kisah di sebalik lagu ini, HITAM mengisahkan tentang hati hitam manusia yang tak akan pernah kita dapat lihat isinya. Akan tetapi hanya dapat merasainya. Perjalanan kehidupan seseorang yang menanggung kesan perbuatan insan dipercayai berhati hitam tanpa disedari atau rasa bersalah oleh dirinya serta orang sekeliling.

Single HITAM telah dilancarkan di Indonesia dengan lebih dari 40 buah siaran radio

Menurut Anep yang merupakan pemain dram OTWO, “Lagu ini mempunyai kekuatan dari segi penulisan lirik serta susunan lagu yang unik dan kualiti bunyian yang sangat tinggi. Dari segi susunan strings juga memainkan peranan sangat penting untuk single ini.

“Lagu ini mendapat sambutan luar biasa di Indonesia kerana ini adalah single pertama OTwo lahirkan secara rock ballad dan eksklusif. Sebelum ini lagu lagu OTwo juga pernah diputarkan di Indonesia akan tetapi tidak menjadi viral seperti lagu HITAM. Dengan hampir 40 buah radio mempromosikan secara serentak di Indonesia ia adalah sesuatu yang sangat luar biasa bagi kami. Dan kami dapat peluang yang sangat besar untuk membawa nama Malaysia ke negara seberang,” tambahnya lagi.

Penerimaan di Indonesia sangat luar biasa dan kini pihak pengurusan di Indonesia sedang usahakan untuk bawa OTwo ke sana untuk dipromosikan di tv serta beberapa konsert di Indonesia , akan tetapi mereka harus menunggu keadaan covid19 melandai dahulu.

“Harapan OTwo adalah ingin bersaing secara sihat di dalam industri muzik tanahair serta membawa nama Malaysia ke beberapa buah negara . Dengan pengalaman yang ada kami yakin kami mampu mewarnai industri muzik  tanahair serta mengharumkan nama negara di Malaysia dan Indonesia,” tambah Izan selaku vokal grup yang ditubuhkan pada tahun 1997 ini.

“Dengan ini kami amat berharap diberi ruang dan peluang serta sokongan untuk kami bekarya dan mendapat tempat terutama di Malaysia dan indonesia. Untuk single akan datang juga telah siap sepenuhnya iaitu OTwo Feat Asheed Def Gab C yang bakal dilancarkan secara serentak di Malaysia dan Indonesia pada bulan Jun 2022. Dengan ini kami mengucapkan jutaan terima kasih pada seluruh pihak media yang sudi memberi ruang serta membantu mempromosikan karya OTwo,” katanya lagi.

Hujung bicara, Alan yang merupakan pemain gitar mewakili OTwo menyatakan harapan mereka, ”Moga OTwo akan terus diberi ruang berkarya serta sokongan untuk kami bersama membantu memeriah serta mewarnai industri muzik tanahair. Terima kasih kerana menyokong penggerakan muzik OTwo.”

Single “HITAM”  yang berdurasi 4:53 ini telah pun dilancarkan secara eksklusif di saluran-saluran digital seperti Youtube, Apple Music, Spotify, Joox, Deezer dan KKBox beserta muzik video rasmi di saluran YouTube rasmi Asia Empire Records.

OTWO – HITAM [OFFICIAL MUSIC VIDEO]

1 thought on “‘Hitam’ bawa OTWO ke pasaran Indonesia

Comments are closed.