KUALA LUMPUR, 24 Mac 2025 – Peminat muzik tanah air bakal disajikan dengan sebuah konsert epik apabila dua kumpulan legenda, Slam dan Exists, bergabung dalam konsert istimewa bertajuk Slam X Exists-Our Journey. Konsert yang dianjurkan oleh SS Karya Venture dan Republic Mokhmah Records ini bukan sekadar sebuah persembahan biasa, sebaliknya sebuah perjalanan penuh nostalgia yang memperlihatkan evolusi dua kumpulan yang telah mencipta fenomena dalam industri muzik selama lebih tiga dekad.
Menurut pengasas SS Karya Venture, Shah Nizam Abdul Halim, konsert ini merupakan satu manifestasi perjalanan panjang Slam dan Exists dalam dunia seni.
“Slam dan Exists bukan sekadar kumpulan muzik biasa, tetapi mereka adalah ikon dalam industri hiburan Nusantara. Konsert ini bertujuan untuk membawa peminat menyelusuri sejarah perjalanan seni mereka dalam sebuah persembahan yang unik dan penuh makna.”

Konsert yang bakal berlangsung di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 26 Julai 2025 ini juga akan menampilkan persembahan luar biasa daripada kedua-dua kumpulan. Slam yang dianggotai oleh Zamani, Shah, Eddie, Lili, dan Man akan berkongsi pentas bersama Exists yang kini diterajui oleh Ezad serta ahli kumpulan asal seperti Ajai, Ujang, Along, dan Musa.
Antara lagu yang bakal dipersembahkan termasuklah deretan hit seperti Rindiani, Gerimis Mengundang, Mentari Muncul Lagi daripada Slam serta Julia, Langkah Seiringan, Jesnita daripada Exists. Peminat juga boleh menjangkakan kejutan istimewa apabila Ezad dan Zamani bakal bergabung suara dalam satu persembahan yang pastinya akan mencetuskan detik magis.

Shah Slam turut berkongsi harapannya terhadap konsert ini:
“Kami berharap Slam X Exists-Our Journey bukan sekadar sebuah konsert, tetapi satu pengalaman yang membangkitkan nostalgia serta menyatukan semua peminat muzik tanah air.”
Tiket untuk konsert ini kini boleh didapati menerusi laman web www.ilassoTicket.com/slamexists dengan harga bermula dari RM168 (PS4 Langkah Seiringan) sehingga RM3,000 (Grand VIP Kembali Terjalin). Sambutan luar biasa telah diterima apabila tiket PS4 habis terjual dalam tempoh tiga hari, manakala tiket PS3 semakin hampir habis dijual.

Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan bersejarah ini. Slam X Exists-Our Journeymenjanjikan sebuah malam penuh kenangan buat peminat tegar Slam dan Exists. Sampai jumpa di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 26 Julai 2025!