KUALA LUMPUR, 21 April 2025 – Kumpulan muzik tempatan yang sinonim dengan eksperimen sonik dan puisi berlapis, Pitahati, kini kembali mencuri perhatian dengan single terbaharu mereka berjudul “Ana Yang Punya (1 Ringgit 2 Ringgit)”. Lagu yang dilancarkan di bawah label Luncai Emas ini membawa warna baharu dalam katalog muzik mereka, menggabungkan kritikan sosial dengan pendekatan yang lebih santai dan berjenaka.
Dicipta, ditulis dan diterbitkan sepenuhnya oleh Pitahati, lagu ini turut menampilkan kerjasama Husyairi Hamzah selaku penerbit bersama. Proses rakaman, adunan dan mastering pula digalas oleh Mokhtar, yang memastikan setiap lapisan bunyi disusun rapi dan penuh perincian.
Menurut Ilham, vokalis utama Pitahati, Ana Yang Punya membawa mesej sindiran terhadap individu yang terlalu berkuasa dan seakan menganggap dunia ini milik peribadi mereka.
“Kami tidak tujukan kepada mana-mana pihak secara khusus, tetapi lebih kepada gambaran umum tentang tingkah laku manusia yang lupa diri bila diberi kuasa. Tapi kami sampaikan dengan nada yang ringan, santai dan sedikit lucu,” ujarnya.

Dari segi muzik, Pitahati mengakui bahawa lagu ini mungkin mengingatkan pendengar kepada “Riders on the Storm” oleh kumpulan rock legenda, The Doors, namun mereka menegaskan ia bukan hasil tiruan atau saduran.
“Kami tak ambil terus inspirasi dari sana, mungkin secara tak sedar ada iras. Ia seperti gema dari banyak melodi lama yang membentuk asas muzik klasik,” kata Hidayat, gitaris kumpulan itu.
Lebih menarik, Pitahati turut menyatakan bahawa lagu ini mencerminkan perubahan dalam gaya persembahan mereka – dari sebelumnya yang lebih dramatik dan introspektif, kepada sesuatu yang lebih ringan dan mudah didekati.
“Kami mungkin jadi lebih kelakar sekarang,” seloroh Masrin, pemain bass Pitahati. “Tapi jangan risau, lawak kami tak ganggu mutu muzik.”
Sebagai pembuka tirai kepada album terbaru mereka yang bakal diumumkan kelak, Ana Yang Punya dipilih sebagai single pertama kerana ia mewakili transisi dan evolusi muzik Pitahati yang lebih terbuka dan eksperimental.
“Kami cuma nak orang dengar, senyum, dan fikir. Kalau mereka ketawa sambil faham mesej kami, itu dah cukup buat kami gembira,” tambah Ilham.
Ana Yang Punya (1 Ringgit 2 Ringgit) kini boleh distrim di semua platform penstriman utama, dan visualizer rasminya boleh ditonton di YouTube. Ikuti perjalanan terbaru Pitahati melalui saluran media sosial mereka dan bersiap sedia untuk lebih banyak karya luar kotak dari kumpulan yang tidak pernah takut mencabar norma ini.