Misteri Fraser 1910: Gabungan Fakta, Fiksyen dan Sejarah Kolonial

Nama Louis James Fraser atau lebih dikenali sebagai Mr. Fraser, sinonim dengan penubuhan pusat peranginan terkenal Bukit Fraser yang terletak di daerah Raub, Pahang. Namun, di sebalik ketenangan dan kehijauan kawasan percutian tersebut, tersimpan satu kisah misteri yang mengundang pelbagai teori hingga ke hari ini — kehilangan Mr. Fraser secara tiba-tiba pada tahun 1910.

Kisah tersebut kini diangkat ke layar perak menerusi filem “Misteri Fraser 1910”, terbitan syarikat tempatan Millionaire Film Production Sdn. Bhd.. Filem arahan dan terbitan Elani Aidid ini diinspirasikan daripada peristiwa sebenar yang berlaku lebih 100 tahun lalu, apabila peneroka dari Scotland itu didapati hilang tanpa jejak selepas menemui kawasan kaya dengan hasil bijih timah.

Menurut Elani, idea menghasilkan filem tersebut tercetus pada tahun 2019 ketika beliau sedang meninjau lokasi penggambaran bagi sebuah filem lain di Bukit Fraser.

“Ketika berada di sana, kami terbaca mengenai sejarah kehilangan Mr. Fraser. Malah, beberapa laluan mendaki seperti ‘Bishop Trail’ dan ‘Abu Suradi Trail’ dinamakan sempena individu yang terlibat dalam pencarian beliau. Dari situ, saya mula menjalankan kajian lanjut dan mencipta teori fiksyen mengenai kehilangannya yang akhirnya membawa kepada penghasilan filem ini,” katanya.

Filem Separa Fakta, Separa Fiksyen

“Misteri Fraser 1910” menampilkan pelakon Josiah Hogan sebagai Mr. Fraser, dibantu oleh barisan pelakon popular seperti Amai Kamarudin, Siti Hariesa, Isyariana, dan Erry Putra.

Filem ini dibangunkan dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menerusi Dana Perkembangan Skrip Filem. Menurut Elani, 50 peratus jalan cerita diadaptasi daripada fakta sejarah, manakala selebihnya diolah secara fiksyen berasaskan cerita lisan masyarakat setempat.

“Penulisan skrip ini dipantau secara profesional oleh panel FINAS dari peringkat awal hingga akhir agar naratif berkembang secara konsisten,” tambahnya.

Unsur Klasik dan Sejarah Diberi Penekanan

Selain unsur seram dan mistik, filem ini turut menonjolkan elemen sejarah dengan penggunaan dialog bahasa baku lama, busana klasik, dan latar tempat yang membangkitkan suasana era 1910.

“Penonton bukan sahaja akan dibawa menghayati misteri kehilangan Mr. Fraser, malah merasai suasana zaman kolonial dengan set, props, dan gaya penceritaan yang autentik,” jelas Elani.

Pengiktirafan Antarabangsa Sebelum Tayangan Perdana

Filem ini turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila terpilih dalam kategori Best First-Time Filmmaker di Lift-Off Global Network Sessions Vol. 4 yang berlangsung di Pinewood Studios, United Kingdom. Ia bersaing dengan 26 filem dari pelbagai negara dan mendapat undian tinggi daripada penonton luar negara.

Tayangan Perdana 26 Jun 2025

Untuk peminat filem seram tempatan, Misteri Fraser 1910 bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 26 Jun 2025.

Sinopsis

Louis James Fraser, seorang peneroka dari Scotland, tiba di Tanah Melayu pada 1890 dan membangunkan Bukit Fraser hasil kekayaan perlombongan bijih timah. Beliau melantik seorang lelaki tempatan, Asan, sebagai orang kepercayaannya untuk menguruskan perniagaan dan tempat kediaman.

Namun pada tahun 1910, Mr. Fraser hilang secara tiba-tiba dan misteri — rumah banglo dan perniagaannya ditinggalkan begitu sahaja tanpa petunjuk. Asan kemudian berpindah ke banglo tersebut bersama isterinya, Wah, namun pelbagai kejadian aneh dan mistik mula menghantui mereka, menjadikan kehilangan Mr. Fraser kekal misteri hingga ke hari ini.