RIM gesa Belanjawan 2026 beri dana lebih besar untuk industri muzik tempatan

KUALA LUMPUR, 9 Oktober 2025 – Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) menyeru kerajaan agar memberikan sokongan menyeluruh terhadap industri muzik tempatan menjelang pembentangan Belanjawan 2026, bagi memastikan sektor ini terus berkembang sebagai salah satu pemacu utama ekonomi kreatif negara.

Menurut RIM, industri muzik bukan sekadar medan hiburan, tetapi juga merupakan aset digital bernilai tinggi yang selari dengan hasrat Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo, untuk menjadikan aset digital sebagai tonggak penting dalam sistem kewangan masa depan negara.

Pengerusi RIM, Rosmin Hashim, menjelaskan bahawa peningkatan dana dan peruntukan kepada industri muzik akan memberikan kesan berganda terhadap ekonomi negara.

“Berdasarkan Kajian Impak Ekonomi Industri Muzik Malaysia oleh PwC bagi tempoh 2016 hingga 2020, industri muzik tempatan telah menyumbang RM19.4 bilion kepada ekonomi negara, membayar cukai tahunan sebanyak RM531 juta, dan menyokong lebih 111,000 peluang pekerjaan setiap tahun,” katanya.

Rosmin Hashim

Beliau menambah, peningkatan dana bukan sahaja memberi manfaat kepada pemain industri muzik, tetapi juga kepada sektor berkaitan seperti penganjuran acara muzik langsung, tempat hiburan, media penyiaran dan pelancongan.

Pada tahun 2024, industri muzik Malaysia mencatatkan pendapatan tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak RM339 juta, merangkumi hasil daripada platform digital seperti YouTube, Spotify, Apple Music, TikTok dan Facebook, serta kutipan oleh organisasi pengurusan kolektif (CMO) seperti MACP, PPM dan RPM.

Namun, angka ini belum termasuk hasil daripada aktiviti komersial lain seperti penerbitan muzik, konsert dan pengurusan artis, yang dijangka akan meningkatkan lagi jumlah sebenar pendapatan industri muzik negara.

Rosmin turut menekankan kejayaan Dana Kreatif Digital Industri Muzik (DKK) di bawah Kementerian Komunikasi yang telah membantu melahirkan karya berkualiti tinggi.

“Rakaman baharu oleh penerima dana seperti Aina Abdul, Dayang Nurfaizah dan Hazama telah mendominasi senarai lima teratas Anugerah Industri Muzik (AIM) baru-baru ini. Malah, Dayang Nurfaizah turut memenangi Album Terbaik menerusi Belagu 2. Kami amat berharap agar dana DKK ini dapat diteruskan dalam Belanjawan 2026,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, RIM juga menyeru kerajaan agar memperkukuh strategi promosi muzik Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Malaysia mempunyai kelebihan unik untuk menembusi pasaran besar seperti China, India dan Indonesia dengan kepelbagaian bahasa dan budaya muziknya. Lagu-lagu nasyid dan muzik Islamik tempatan juga berpotensi besar di pasaran global,” jelas Rosmin.

Beliau turut menarik perhatian terhadap kejayaan Korea Selatan yang menjadikan muzik K-Pop sebagai sektor ekonomi keutamaan negara.

Menurut laporan Forbes, pelaburan kerajaan Korea Selatan dalam industri muzik meningkat dari 1 bilion Won pada 2009 kepada 319 bilion Won pada 2013, dan dijangka melebihi 696 bilion Won (USD584 juta) tahun hadapan.

Rosmin berkata, contoh tersebut membuktikan bahawa pelaburan kerajaan dalam sektor muzik boleh membawa pulangan besar kepada ekonomi negara.

“Menjelang 2026, industri muzik Malaysia berada pada landasan terbaik untuk menjadi peneraju kandungan digital Asia. Dengan sokongan dana lebih besar, pembangunan bakat tempatan, dan promosi antarabangsa yang agresif, Malaysia mampu menjadi kuasa besar baharu dalam aset digital rantau ini,” katanya mengakhiri kenyataan.