KUALA LUMPUR, 29 Mei 2025 – Penyanyi muda berbakat, Amsyar Leee mencuri tumpuan apabila mewakili Malaysia dalam program realiti nyanyian baharu bertaraf antarabangsa, Sing! Asia, yang kini sedang ditayangkan di platform penstriman IQIYI.
Amsyar, yang kini bersaing dengan puluhan peserta dari pelbagai negara termasuk China, Jepun, Vietnam, Singapura dan Thailand, mengakui pengalaman itu amat mencabar namun penuh berharga. Program ini menampilkan format pertandingan berbeza setiap minggu dan turut menguji peserta dengan lagu-lagu dalam bahasa Mandarin.
“Saya gembira menerima maklum balas positif daripada penonton selepas episod pertama disiarkan minggu lalu. Walaupun banyak cabaran, saya anggap ini satu permulaan yang baik buat karier seni saya tahun ini,” ujar Amsyar.
Menurut Amsyar, sejak ditawarkan menyertai pertandingan tersebut, beliau tidak teragak-agak untuk menyahut cabaran demi mengangkat nama Malaysia ke pentas antarabangsa. Meskipun berdepan peserta yang lebih berpengalaman, beliau percaya platform ini membuka ruang untuk menyerlahkan bakatnya kepada khalayak lebih luas.
Rakaman pertandingan telah bermula sejak Februari lalu di beberapa lokasi antaranya China, Jepun, Hong Kong serta beberapa negara lain yang dirahsiakan pihak produksi.
Antara cabaran terbesar yang dihadapi Amsyar adalah menyanyikan lagu dalam bahasa Mandarin – sesuatu yang di luar zon selesanya. Tambahan pula, beliau turut berdepan masalah kesihatan ketika rakaman dijalankan di China akibat cuaca sejuk yang menjejaskan suara.
“Lagu-lagu yang saya bawa semuanya berat dan penuh emosi. Tapi cabaran sebenar bukan berlawan dengan peserta lain, sebaliknya mengatasi ketakutan atas pentas dan kegelisahan dalaman saya sendiri. Setiap kali saya berani melangkah ke pentas, itu satu kemenangan kecil buat diri saya,” katanya jujur.
Amsyar yang popular menerusi lagu Belai turut berkongsi keterujaan dapat bekerjasama dengan produksi antarabangsa yang memberikan banyak pendedahan dan ilmu baharu, khususnya dalam aspek teknik vokal dan persembahan.
“Saya harap dapat mara ke peringkat akhir dan mengharumkan nama negara. Saya mahu tunjukkan bahawa suara anak Malaysia juga mampu menyentuh hati sesiapa saja. Walaupun ada kritikan daripada sesetengah pihak, saya percaya setiap suara ada tempatnya. Saya akan terus melangkah selagi ada sokongan dan doa,” jelasnya.
Sing! Asia yang memulakan siaran pada 23 Mei lalu, kini menjadi bualan ramai khususnya peminat muzik rantau Asia yang teruja menyaksikan gabungan bakat dari pelbagai negara dalam satu pentas pertandingan.