July 14, 2024

KUALA LUMPUR – Sejak membuat kemunculan dalam industri seni muzik tempatan, penyanyi hip hop yang semakin meningkat naik Yonnyboii telah banyak menghasilkan karya-karya hebat yang mencuri perhatian peminat genre tersebut. 

Malah pada tahun 2022 Yonnyboii telah memenangi anugerah Album Terbaik di acara Anugerah Industri Muzik. Dengan kemenangan tersebut, bintang muda itu berjaya membawa pulang trofi serta geran Dana Kandungan Digital berjumlah RM 200,000 dari MyCreative Ventures dan Kementerian Komunikasi Digital.

Berkat bantuan geran tersebut, Yonnyboi telah berjaya berkarya dengan lebih meluas dan melahirkan album yang lebih berkualiti.

Dana tersebut telah digunakan untuk setiap aspek pembikinan album termasuk penerbitan lagu, video muzik serta perbelanjaan pemasaran dan promosi.  

Salah satu rancangan pemasaran yang bakal diadakan adalah sebuah majlis pelancaran album yang istimewa. Ia bakal diadakan pada tanggal 7 Oktober 2023 di Putrajaya Challenge Park – Skatepark secara besar-besaran dari jam 4 petang hingga malam.

Semestinya, ini bakal menjadi satu sejarah kerana belum ada penyanyi yang mengadakan pelancaran album di lokasi seperti ini dengan skala gergasi. Ramai dijangka bakal meluangkan waktu di acara tersebut.

Di samping itu bintang ini juga pernah tercalon untuk anugerah muzik paling berprestij di Malaysia iaitu Anugerah Juara Lagu.

Kini, bintang ini muncul lagi dengan sesuatu yang lebih istimewa iaitu sebuah lagi album penuh berjudul Persona. Album ini menceritakan perjalanan beliau dalam mencari jatidirinya yang sebenar, khasnya melalui muzik.

Yonnyboii berkata, album ini menceritakan bagaimana dia mencari bunyi yang juga identitinya sendiri. Yonnyboii melalui beberapa persona untuk mencari identiti ini. Jadi album ini menggambarkan personanya dalam setiap lagu. Kesemua lagu dalam album ini berbeza-beza mengikut personanya yang bervariasi.

Album ini turut menampilkan ramai nama-nama terkenal dalam arena hip hop serantau termasuk kawan-kawan baik Yonnyboii sendiri seperti SonaOne, MeerFly, Killa Driz, Guccimith, Alyph, Tommy King serta Adam E. 

“Kesemua mereka memberikan masukan yang berbeza dan mereka memang gila-gila. Saya senang sekali bekerjasama dengan mereka yang memang berbakat,” ulasnya mengenai kolaborasi bersama rakan-rakan seperjuangannya. 

Bila ditanya tentang cabaran dalam menghasilkan album ini, Yonny menjelaskan hanya satu cabaran yang nyata iatu dirinya terpaksa bijak membahagikan masa.

Yonnyboii berkata, pada waktu album ini disempurnakan, waktu agak suntuk dan isterinya sedang hamil dan kemudian melahirkan anak mereka. Jadi Yonnyboii terpaksa menyelitkan masa untuk memberi perhatian pada isteri dan anak selain memastikan album siap dengan baik. Jadi itu cabaran tersebar untuk album ini.

Yonnyboii turut berharap album ini bakal disukai oleh kesemua peminatnya sepertimana beliau menyukai album ini. 

Persona telah berada di semua platform digital bermula pada 22 September lalu.