KUALA LUMPUR – Lebih dikenali sebagai pengacara popular tanah air, penghibur serba boleh, penyanyi, pelakon dan juga penyampai radio, Khairil Azam Pilus atau lebih terkenal dengan panggilan Aril Pilus, kembali dengan single pop terbaharunya berjudul ‘TAK SEMPURNA’ hasil ciptaan bersama, komposer berbakat Justin Seow dan penulis lirik, Asyraf Nasir, manakala diterbitkan oleh label hiburan paling berpengaruh di rantau ini, Rocketfuel Entertainment.
“Alhamdulillah, saya masih lagi menerima tawaran untuk melakukan persembahan nyanyian, emcee (pengacara majlis) dan program TV, serta giat menjalankan aktiviti perniagaan yang saya usahakan iaitu kopi foodtruck,” kata graduan Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif di Universiti Utara Malaysia (UUM), 37 tahun.
Ditanya dari mana datangnya idea disebalik tercetusnya single TAK SEMPURNA ini, jelas Aril, “Baharu-baharu ini tular di media sosial dimana trend tarian ‘shuffle’ kembali diminati ramai, saya dahulunya seorang ‘shuffler’ dan mempunyai pengikut ramai di dalam serta luar negara, jadi saya ambil kesempatan ini untuk menghasilkan sebuah karya berentak pop EDM dan berhasrat menghasilkan festival EDM, selain mempromosikannya.
“Lagu ini membawa maksud ‘kebangkitan semula’, sentiasa berjalan mara ke hadapan, apabila kita jatuh, bangkitlah semula dan jangan menyerah kalah kerana kita semua tidak sempurna. Walaupun rancak, liriknya lebih memberi motivasi dalam membangkitkan semangat.
Aril mula merancang menghasilkan single ini seawal bulan Julai tahun lalu, namun setelah bertemu dengan komposer yang betul-betul memahami kehendaknya, prosesnya pun bermula, “Tidak ramai yang memahami konsep muzik EDM ini dan yang menjiwainya sahaja akan faham, selain saya, saya turut menjemput penyanyi rap tanah air, Nigel Sparks untuk menambah flavour ke dalam karya ini dan hasilnya amat memuaskan hati.
“Saya anggap lagu ini ibarat comeback saya ke dalam industri muzik, dan bukan saya sahaja, malah untuk komuniti tarian ‘shuffle’ serta penggemar muzik EDM.
Setakat ini, video muzik (MV) bagi single ini masih lagi dalam proses perbincangan dan berkemungkinan hanya lirik videonya sahaja yang bakal dilancarkan.
Menganggap dirinya seorang yang versatil, Aril bukanlah artis yang yang beromongan kosong, “Saya kembali ke universiti kerana ingin memantapkan pengetahuan dalam bidang seni.
“Sebagai seorang pengusaha kreatif, kita perlu menimba ilmu kerana apabila karya-karya yang dihasilkan, ianya bermutu dan mempunyai nilai.
“Saya berharap agar lagu ini mendapat sambutan dan diterima ramai, dan lagu ini juga mempamerkan sisi saya yang berbeza yang ramai tidak tahu di luar sana bahawasanya suatu ketika dahulu saya merupakan ‘shuffler’ yang disegani.
Lagu ‘TAK SEMPURNA’ boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.