May 17, 2024

KUALA LUMPUR: Saya tertarik dengan komen saudara Ad Samad dalam artikel ‘Major & Minor’ dan terpanggil untuk memberi pandangan terhadap komen yang diberikan. Saudara Ad Samad persoalkan apa yang boleh dilakukan oleh Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Datuk Seri Salahuddin Ayub untuk muzik Malaysia. Saya percaya menerusi kerjasama baik semua pemegang hak muzik termasuk penulis lagu, penyanyi, pemuzik, syarikat rakaman dan penerbit bersama YB Datuk Seri Salahuddin Ayub, industri muzik tempatan dapat dibangunkan agar menjadi salah satu tiang utama pertumbuhan ekonomi negara.

Membina pasaran yang lebih besar untuk muzik Malaysia

Menurut kaji selidik berkaitan impak industri muzik tempatan kepada ekonomi negara yang dilaksanakan firma perunding berwibawa, PricewaterhouseCoopers (PwC) pada tahun 2016, pelaburan industri muzik tempatan menjana nilai berganda sebanyak RM6.1 bilion setahun kepada ekonomi negara, memberi peluang pekerjaan kepada sejumlah lebih 83,113 pekerja setahun dan menyumbang cukai sebanyak RM247 juta setahun kepada negara. Adalah jelas dari hasil kaji selidik ini, perniagaan industri muzik tempatan membawa kesan yang signifikan kepada ekonomi negara. Kolaborasi industri muzik dan pihak kementerian dalam pelaksanaan pelbagai aktiviti pembangunan industri muzik boleh memacu lagi pertumbuhan industri ini dan ekonomi negara.

Malaysia diberkati golongan pengkarya yang sangat kreatif yang mampu menghasilkan kandungan muzik yang bukan sahaja diterima peminat muzik tempatan tetapi juga pendengar di luar negara. Muzik dan artis-artis dari Malaysia berbangsa Melayu, Cina dan India seperti Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Shila Amzah, Joe Flizzow, Fish Leong, Michael & Victor dan Mugen Rao telah berjaya menembusi pasaran di rantau Asia termasuk negara Indonesia, China dan India. Malah, artis Melayu tempatan, Yuna telah berjaya melebarkan sayap ke pasaran dunia! Lagu-lagu yang dihasilkan komposer tempatan juga telah dirakam oleh penyanyi-penyanyi popular dari luar negara.

Kepelbagaian muzik yang dihasilkan oleh penggiat industri muzik tempatan dalam bahasa Melayu, Cina dan India memberikan Malaysia satu kelebihan yang membolehkan kandungan muzik yang dihasilkan di negara ini bukan sahaja menembusi pasaran negara Indonesia, China dan India yang mempunyai jumlah penduduk yang sangat tinggi bahkan pasaran dunia! Muzik nasyid tempatan yang dihasilkan juga berpotensi besar untuk menembusi pasaran negara yang mempunyai ramai penduduk beragama Islam di seluruh dunia. Membina pasaran yang lebih besar untuk muzik Malaysia akan meningkatkan pendapatan semua penggiat industri muzik tempatan seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Penubuhan Majlis Penasihat Industri Muzik

Penggiat industri muzik tempatan boleh beri input yang relevan berkaitan inisiatif-inisiatif penting yang boleh disokong pihak kementerian untuk membangunkan industri muzik tempatan secara berkesan. Majlis penasihat ini boleh terdiri dari wakil-wakil badan-badan industri muzik berwibawa yang mewakli semua penggiat industri muzik tempatan seperti Music Authors’ Copyright Protection (MACP) yang mewakili penulis lagu, Music Publishers Association (MPA) yang mewakili syarikat penerbit, Recording Performers Malaysia (RPM) yang mewakili penyanyi dan pemuzik, Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) yang mewakil syarikat-syarikat rakaman dan Arts, Live Festival and Events Association (ALIFE) yang mewakili penganjur acara. Input dari penggiat industri muzik tempatan boleh digunakan untuk merangka satu pelan tindakan yang menyeluruh untuk membangunkan industri muzik tempatan demi kebaikan semua penggiat industri muzik dan ekonomi negara.

Kepelbagaian Operasi Badan Pengurusan Kolektif Sedunia

Kaedah yang digunapakai oleh Badan Pengurusan Kolektif (CMO) sedunia untuk mengutip dan mengagih pendapatan dari pelesenan persembahan muzik di tempat awam berbeza dari satu negara ke satu negara. Majoriti badan pengurusan kolektif di dunia yang mewakili pemegang hak muzik yang berbeza menjalankan aktiviti pelesenan muzik mereka secara berasingan. Badan-badan pelesenan tunggal berjaya yang wujud di negara-negara seperti Australia dan New Zealand ditubuhkan secara sukarela oleh pemegang- pemegang hak berkenaan dan tiada campur tangan oleh kerajaan di sana. Harta intelek seperti hakcipta muzik adalah harta persendirian dan sebarang keputusan berkaitan pelesenan harta intelek tersebut haruslah ditentukan pemilik hak cipta berkenaan.

Badan pelesenan tunggal Music Rights Malaysia (MRM) yang ditubuhkan pada tahun 2016 gagal selepas beroperasi kurang dari 3 tahun kerana tiada kata sepakat dalam terma komersil berkenaan di antara semua badan pengurusan kolektif MACP, PPM, RPM dan PRISM yang menjadi ahli MRM semasa penubuhannya. Selepas PRISM mendapat perintah mahkamah untuk digulung, akhirnya, MACP, PPM dan RPM mencapai kata sepakat untuk membubarkan MRM pada tahun 2019.

Sejak dari itu, pengguna muzik telah menerima semula pelesenan muzik secara berasingan oleh badan-badan pengurusan kolektif berkenaan seperti yang dijalankan berdekad lamanya sebelum itu.

Sebelum ini, ada pihak tertentu yang membuat pelbagai tuduhan yang tidak berasas terhadap badan pengurusan kolektif sedia ada sehingga membawa kepada siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap MACP, PPM dan RPM. Selepas siasatan selesai dibuat pihak SPRM, tiada sebarang tindakan lanjut yang perlu diambil badan-badan pengurusan kolektif tersebut. Ini membuktikan tidak ada salah laku dalam pengurusan kutipan dan pengagihan royalti oleh badan-badan pengurusan kolektif tersebut seperti yang didakwa. MACP, PPM dan RPM juga masing-masing menjadi ahli badan sedunia, The International Confederation of Societies of Authors and Composers (CISAC), The International Federation of the Phonographic Industry (IFPI) dan the Societies’ Council for the Collective Management of Performers’ Rights (SCAPR) yang bertindak menasihati badan-badan pengurusan kolektif tersebut untuk sentiasa mengikut amalan terbaik dunia dalam operasi pelesenan muzik mereka.

Kelulusan yang diberikan pihak MyIPO untuk dua badan pengurusan kolektif yang baru iaitu Music Rights Sabah (MRS) dan Music Rights Sarawak (MRSB) memberi cabaran baru kepada operasi kutipan royalti persembahan muzik awam di Sabah dan Sarawak. Kedua-dua badan pengurusan kolektif tersebut telah diberi mandat oleh pihak MyIPO untuk mengutip royalti untuk penggunaan muzik “etnik” yang sebenarnya tiada definisi dalam Akta Hakcipta dan ini sudah tentu akan mengelirukan pengguna muzik. Pengguna muzik di Sabah dan Sarawak juga akan dihubungi sejumlah lima badan pengurusan kolektif untuk pelesenan muzik di wilayah tersebut dan ini mungkin akan mengakibatkan aduan oleh pengguna muzik di sana.

Walaubagaimanapun, sebarang perselisihan faham di antara pihak pengguna muzik dan badan pengurusan kolektif sedia ada boleh dibawa kepada perhatian Tribunal Hak Cipta untuk diselesaikan secara baik. Akhir kata, saya nantikan jalinan kerjasama yang baik di antara semua penggiat industri muzik tempatan bersama YB Datuk Seri Salahuddin Ayub untuk sama-sama membangunkan industri muzik tempatan demi kebaikan semua.

Rosmin Bin Hashim – Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Public Performance Malaysia (PPM)