July 18, 2024

Oleh: Zizi Hashim

Demikian seloroh penyanyi tersohor tanahair, Dato’ Awie pemilik asal nama Ahmad Azhar Othman ketika diajukan soalan berkenaan “Special Appearance” atau “Penampilan Khas” artis-artis lain pada konsert solo terakhirnya yang diberi gelar “Journey” akan berlangsung pada 3 Ogos 2024 nanti di Dewan Merdeka WTC Kuala Lumpur. Sendaloka Dato’ Awie itu bersambut oleh gelak ketawa semua. 

Apabila suasana kembali serius, beliau menyambung, “Saya rasa tak perlu penampilan khas. Cuma untuk menyanyikan lagu-lagu duet pada mulanya saya rancang mahu guna teknik AI, tapi dengar cerita AI pula berhadapan dengan masalah saman. Kalau tidak, saya akan menyanyi bersama crowd.” katanya.

“Ini kerana saya rasa kalau hendak ambil ‘runcit-runcit’ ni sudah jadi bukan trend sekarang ni. Datang ke 1-2 lagu dah jadi tak best sebenarnya. Pergerakan jadi susah dan fokus jadi kelam-kabut, saya tak mahu begitu.” Itulah Dato’ Awie, seorang figura yang begitu kreatif dan pro-aktif dalam mempraktikkan kelainan dalam formula-formula baru dan segar pada setiap kemunculan. 

Sengaja mencipta thrill dan vibes keterujaan pada pembeli tiket, Dato’ Awie menambah, “Saya telah susunkan beberapa segmen termasuklah segmen tribute, antaranya tribute kepada ibu bapa dan kepada mereka yang telah pergi. In shaa Allah.” ujarnya dengan nada bersungguh-sungguh. 

“Setakat ini persediaan muzik boleh dikatakan 30-40% begitulah. Selebihnya yang perlu saya buat sekarang ini ialah mencantas beberapa lagu yang banyak itu menjadikan konsert berdurasi 2 jam atau 2 jam setengah. Saya kalau boleh tak mahu terlalu lama sangat, saya nak beri yang solid, yang buat semua peminat keluar dari dewan seusai konsert dengan senyuman.” 

“Namun sebenarnya hal utama yang saya mahu serlahkan pada konsert solo terakhir saya ini ialah setiap yang hadir mendengar rintihan dan keluh resah seorang penyanyi. Bukan senang, banyak benda yang terlepas pandang dan banyak benda yang tak tercapai tangan. Terlalu banyak yang terpaksa dikorbankan, contohnya kasih sayang dan macam-macam lagi yang orang tak terfikir. Orang tak tahu kesedihan yang dibawa ke atas pentas, orang tak nampak.” cerita pemegang rekod Album Solo Artis Lelaki Paling Laris Di Malaysia ini lagi. “Sebagai penghibur tugas menghiburkan orang tetapi dalam hati siapa yang tahu.” sayu nada suara itu.

Dato’ Awie ketika ditemui pada petang sidang media bertempat di Maristar Bukit Bintang pada 20 Jun baru-baru ini mengakui peristiwa pemergian ibu kandungnya ke rahmatullah 10 tahun lalu akibat sakit tua adalah detik paling menyedihkan dalam hidupnya kerana terpaksa bekerja menghiburkan audiens di atas pentas. “Ibu saya meninggal jam 8 pagi pada 12 Disember 2014, malamnya itu saya terpaksa naik pentas kerana komited terlibat dengan lakonan teater Takhta 3 Ratu di Istana Budaya.”

“Pementasan teater Takhta 3 Ratu yang dirancang pada 13 Disember telah terpaksa ditunda sehari bagi menghormati kematian ibu saya. Bayangkan saya nak menghiburkan orang, saya nak berdepan dengan pelakon-pelakon lain, bagaimana saya nak bawa watak saya dalam keadaan kesedihan yang amat sangat. Saya terpaksa juga naik pentas, terpaksa senyum tapi hati dan perasaan saya siapa yang memahami. Ini sesuatu yang orang tidak pernah tahu dan kupas. Itulah pengorbanan saya yang ingin saya kenang dan beritahu dalam penceritaan perjalanan seorang anak seni.”

Sinonim dengan konsep persembahan teatrikal, Dato’ Awie pada usia yang menjangkau 55 tahun tetap bersemangat mempamerkan kemantapan vokal trademark bernada tinggi dan showmanship pentas yang luarbiasa – lagaknya tak ubah bagaikan berusia 20an. Ketika ditanya apakah lagu-lagu yang dicantas dari 60 buah lagu menjadi 36 lagu sahaja terdiri daripada lagu-lagu hits atau yang tidak pernah dimainkan sebelum ini, Dato’ Awie berkata, “Saya akan bawakan lagu-lagu hits saya yang tidak pernah saya bawakan sebelum ini.” 

“Lagu hits yang selalu saya nyanyi adalah permintaan. Lagu yang tak pernah bawa ada juga yang minta tapi ramai yang tak tahu. Saya rasa saya kena bawa juga lagu-lagu yang tidak pernah dimainkan ini seperti lagu “Kau Yang Mula Dulu”, ramai tak tahu lagu tu tapi lagu tu sedap. Melodi yang indah cuma tidak bernasib baik untuk mendapat ‘airplay’ yang kerap di radio. Seperti juga lagu “Kita Permata” dan “Sepi Di Langit Tinggi” banyak lagi lagu yang sedap sedap sebenarnya.” ujar Dato’ Awie berkongsi sedikit setlist konsert terakhirnya ini.

“Apabila saya terpaksa potong banyak lagu untuk sebuah konsert, ianya adalah sesuatu yang pening bagi saya. Itu sebab saya akan fikir konsep konsert terlebih dahulu. Saya nak jual konsep – jadi ia bantu mudahkan. Kalau tiada penceritaan itu, saya pinjam 1-2 lagu daripada orang lain untuk ‘flashback’ waktu saya muda-muda dahulu. Bagaimana saya tahu yang saya boleh bernyanyi. Saya tak tahu saya ni boleh menyanyi sebenarnya.”

Lagu-lagu yang bakal dibawakan pada konsert itu nanti dipetik dari album solo Dato’ Awie yang berjudul Awie (1994), O-Tak (1996), Satu (1998), Rentap (2000) dan Santai (2005). Layari www.pixeltix.com.my untuk pembelian tiket dan maklumat lanjut. Dato’ Awie menjanjikan memori paling terindah untuk semua peminat malahan setiap peminat akan diberikan cenderahati istimewa. Lock tarikh 3 Ogos 2024! Jumpa di Dewan Merdeka WTC Kuala Lumpur jam 8 malam!