KUALA LUMPUR : kumpulan rock popular Indonesia, Slank berjaya menghiburkan peminatnya di Malaysia sempena Konsert 4 Dekad Slank bertempat di Zepp Kuala Lumpur pada ahad lepas. Persembahan yang penuh energi membuatkan peminat di Malaysia dapat melepaskan kerinduan mereka setelah lama Slank tidak beraksi di sini.
Konsert anjuran TBRW Global Sdn Bhd itu adalah bersempena meraikan ulang tahun ke-39 penubuhan kumpulan rock yang menjadi ikonik di Indonesia. Bimbim (drum), Kaka (vokal), Ivanka (bass), Abdee (gitar), dan Ridho (gitar) masih kekal bersilaturrahim di bawah panji-panji Slank.
Konsert berdurasi dua jam itu membuka tirai pentas menerusi lagu I Miss U But I Hate U seterusnya Gara Gara Kamu, Virus, Mars Slankers dan Mawar Merah.
Slank mengundang penyanyi rock Ella berkolaborasi bersama Kaka menerusi lagu Pandangan Pertama yang mana mereka berdua begitu serasi sekali mendendangkan lagu tersebut. Ella kemudiannya tampil solo menerusi lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah dan Kesal.
Motto ‘Slank Nggak Ada Matinya’ menjadikan mereka bertahan selama empat dekad walaupun seringkali dilanda dengan pelbagai kontroversi sepanjang 39 tahun berkarier sebagai anak seni namun Slank tidak diam dan terus berkarya sepertimana kehendak peminat mereka.
“Alhamdulillah, sehingga hari ini kami diberi kesihatan akal dan fikiran untuk terus mengeluarkan karya-karya baharu kerana itulah yang sentiasa ditunggu oleh peminat Slank,” ujar Kaka semasa sidang media sebelum mereka membuat persembahan.
Kaka seterusnya mengajak penonton berhibur bersama-sama mereka menerusi lagu Ku di Negeri Orang, Kirim Aku Bunga, Tong Kosong dan Bang Bang Tut. Slank bagai tiada lelah terus memberikan persembahan secara total.
Seusai penonton terpesona dengan petikan gitar solo Ridho, pemain dram, Bimbim mengambil tempat menerusi lagu Bimbim Jangan Menangis dengan penuh penghayatan sepertimana lagu ini mempunyai seribu kisah tentang hidupnya.
Kaka tampil semula di atas pentas sehingga akhir dengan lagu-lagu seperti Terlalu Manis, Kuil Cinta, Maafkan, Ku Tak Bisa, Orkes Sakit hati, Kamu Harus Pulang dan Ngeslank Rame Rame.
Penataan cahaya yang minimal di tambah dengan sistem bunyi yang cukup bersesuaian dengan halwa pendengar sudah cukup untuk menjadikan Konsert 4 Dekad Slank sesuatu yang harus di abadikan dalam kamus hidup slankers.
Pihak penganjur iaitu TBRW Global Sdn Bhd berasa cukup terharu dan gembira dengan kesudian Slank untuk muncul di Malaysia setelah sekian lama tidak muncul di Kuala Lumpur khususnya.