October 25, 2024

Tahun 2020 Respected Citizen Sdn Bhd ditubuhkan sebagai sebuah interpretasi kecintaan dan minat mendalam pasangan selebriti Aeril Zafrel dan Wawa Zainal terhadap dunia seni yang berakar umbi dalam diri mereka.

Justeru produksi ini terus menghasilkan karya di luar kebiasaan seperti Sabda Kekasih dan Abnomal: BUAS yang bakal ditayangkan di pawagam pertengahan tahun hadapan.

Respected Citizen meneruskan legasinya pada tahun ini dengan memproduksikan sebuah filem berjudul Klepet yang bergenre komedi. Menurut penerbit eksekutif, Ariel Zafrel dan Wawa Zainal, pemilihan pelakon-pelakon yang sedang meningkat naik, bukan mudah untuknya mendapatkan pelakon-pelakon seperti Meerqeen, Nadhir Nasar, Aedy Ashraf serta yang lain-lain disebabkan terikat dengan jadual yang sangat padat.

“Susah sebab masing-masing terikat dengan jadual yang sangat padat. Tapi sebenarnya nak dapatkan pelakon ini dia kena tackle dulu seorang aktor, mostly saya percaya dan mereka nak tengok siapa yang akan terlibat, siapa pengarah dan bila saya dapatkan Aedy, meerqeen lebih mudah untuk saya dapatkan yang lain.

“Sebenarnya untuk filem ini mungkin kita perlukan 30 hari tetapi disebabkan jadual mereka yang sangat padat, saya compress ke 18 hari dan termasuk contingency dalam 20 hari. InsyaAllah kami akan sedaya upaya untuk habiskan dalam waktu yang ditetapkan.” Ujar Ariel yang juga akan berlakon dalam filem ini.

Penggambaran akan dijalankan sepenuhnya di Negeri Melaka dengan mendapat kerjasama dari kerajaaan negeri. Filem ini juga telah mendapat dana pelengkap Finas melalui Dana Kandungan Digital (DKD). Pihak Respected Citizen telah memilih Indra Putra atau Sanji sebagai sutradara filem ini.

Sebelum ini Indra Putra telah mengarah filem Yong Sari yang bakal ditayangkan tidak lama lagi. Selain itu pengalaman pengarah ini tidak dapat disangkal lagi kerana pernah terlibat secara langsung dalam animasi tempatan dan luar negara termasuk syarikat studio terkenal seperti Walt Disney UK, Salun Picture Canada, Nicklodean UK, Australian Broadcasting (ABC). Beliau mempunyai pasukan yang berkepakaran dalam dunia CGI yang pernah terlibat dalam filem CJ7, Spiderman dan Life of PI. Beliau juga telah memenangi anugerah Best Short Film di Tokyo International Film Festival tahun 2021.

Filem akan memulakan penggambaran pada bulan Disember 2023 dan dijangkakan tayangan pada Julai atau Ogos 2024 ini membariskan pelakon-pelakon terkenal seperti Meerqeen, Nadhir Nasar, Aedy Ashraf, Aeril Zafrel, Adlin Aman Ramlie, Joey Daud, Eric Fuzi dan Namie selain menampilkan pelakon baharu iaitu Arfie Shah dan Darina Porhun.

Sinopsis

3 sahabat Paly, Jany dan Wadi yang sedang menikmati percutian mereka bersama-sama kumpulan Motorhome menjadi huru-hara dengan kedatangan Lola iaitu seorang gadis Ukraine yang melarikan diri daripada kumpulan penculikan (scammer) iaitu Yak dan Jud. Lola pula dipukul pengsan oleh Paly kerana terkejut melihat kelibat Lola yang dipenuhi darah.

Dalam masa yang sama seorang pemain saksofon istimewa turut menyertai Paly, Jany dan Wadi yang telah ditinggalkan oleh band-nya. Hajat Paly untuk menyelamatkan Lola dengan membawa Lola ke klinik tidak dipersetujui oleh Wadi. Keadaan menjadi lebih teruk lagi apabila mereka terlanggar Hitman iaitu pembunuh misteri yang membawa wang tunai yang sangat banyak.

Paly terlihat wang itu lalu mencurinya dan menyimpannya di dalam Motorhome mereka, ketika Hitman sedar dia mendapati wangnya dicuri oleh pemilik Motorhome tadi. Kini Paly, Jany dan Wadi diburu pula oleh Hitman. Kerana takut dikesan mereka bertiga bercadang mencuci wang tersebut kepada seorang ketua sindiket haram iaitu Lawi. Namun keadaan menjadi huru hara kerana Wadi dan Jany telah salah memberi wang tersebut kepada orang yang salah.

Dalam masa yang sama Lola tersedar dan melarikan Motorhome mereka. Sehingga kesemua watak bertemu di antara mereka lalu bermula adegan kejar mengejar Motorhome tersebut. Hitman, Yak dan Jud. Rawi, Paly, Jany, Wadi dan Alfi mula mengejar Lola. Setiap dari mereka mempunyai matlamat masing-masing. Dapatkan Paly, Jany dan Wadi mengejar Lola untuk mengambil semula Motorhome mereka?

Produksi

Terbitan: Respected Citizen Sdn Bhd

Penerbit Eksekutif: Aeril Zafrel & Wawa Zainal

Pengarah: Indra Putra @ Sanji

Penulis Skrip: Baitem Smikxa

Barisan Pelakon : Meerqeen, Nadhir Nasar, Aedy Ashraf, Aeril Zafrel, Adlin Aman Ramlie, Joey Daud, Eric Fuzi, Namie.

Penampilan Khas: Wawa Zainal, Hayla, Hun Haqeem dan Fadhli Masoot.

Penampilan Baru: Arfie Shah dan Darina Porhun