May 15, 2024

KUALA LUMPUR – Pada yang pernah menyaksikan filem KL Menjerit terbitan tahun 2002 sudah pasti akan teringat watak Linda Martopo yang dipegang oleh penyanyi verstyle Liza Hanim.  Filem yang dilakonkan oleh Datuk Rosyam Nor dan Lisdawati ini telah membuktikan Liza Hanim juga berbakat besar dalam bidang lakonan. Walaupun 22 tahun filem itu sudah berlalu, Liza Hanim atau nama sebenarnya Haliza Hanim Abdul Halim tetap meneruskan kariernya sebagai seorang penyanyi, pelakon, penulis lagu dan ahli perniagaan.

Bermula seawal usia 17 tahun selepas memenangi sebagai Naib Juara dalam pertandingan nyanyian Golden Teen Search anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada Disember 1996, Liza disifatkan antara penyanyi terbaik Malaysia yang menguasai industri muzik di era 2000-an.

Kini selepas 27 tahun berada dalam bidang nyanyian, beliau mampu menarik nafas lega kerana setelah sekian lama mengimpikan untuk mengadakan konsert solonya telah terlaksana pada 4 Februari lalu. Lebih mengujakan apabila konsert Liza Hanim 27 Years Journey In Concert yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur itu dihadiri lebih 1100 penonton yang rata-ratanya adalah peminat tegar Liza Hanim.

Memulakan konsert sekitar jam 8.35 malam, persembahan intro yang cukup dramatik dan Liza tampil menerusi lagu Imaginasimu seolah membawa peminatnya ke satu dimensi berbeza untuk merasai pengalaman mengasyikkan di sepanjang konsert ini berlangsung. Liza yang hadir berbusana merah hasil air tangan Rizman Ruzaini nyata tampak anggun dan punya aura kredibiliti serta keyakinan yang cukup tinggi.

Liza membawa peminatnya mengembara untuk menghayati lagu-lagu jiwang yang membuai jiwa menerusi Dunia Cinta, Getaran Cinta Di Jiwa, Cintailah Aku Sepenuh Jiwa.

Liza juga menyatakan kerisauan jikalau beliau gagal untuk memenuhi janji kepada peminatnya disebabkan masaalah kesihatan yang dihadapinya sebelum menjelang konsert. Namun rezeki beliau telah tertulis apabila dapat juga bertemu dengan peminatnya serta merilisasikan hasratnya itu.

“Kalau nak jumpa orang yang kita sayang, memang akan sakit dulu. Saya yakin anda pasti perasan saya kurang sihat ketika ini. Memang betul sudah dua minggu saya tak sihat. Jujurnya saya risau jika kesihatan saya masih tidak pulih menjelang konsert sebab lagu-lagu saya tahu sajalah (bernada tinggi).

“Tapi, Alhamdulillah semuanya dipermudahkan. Mungkin semangat nak jumpa anda semua pada konsert ini saya cuba harungi dan harapnya setiap lagu dapat dipersembahkan dengan baik,” ujarnya.

Liza Hanim yang dilihat sebak dan terharu melihat sokongan peminat yang tidak berbelah bahagi turut melahirkan ucapan terima kasih kerana menjadikan Liza Hanim 27 Years Journey In Concert menjadi realiti. Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa terima kasihnya kepada Tan Su Loke kerana sudi menerimanya sebagai artis rakaman syarikatnya iaitu Suria Records (SRC) dan memberi kepercayaan penuh untuk meriliskan 3 buah album meskipun di ketika itu Liza baru berusia 20an.

Konsert berdurasi 2 jam 30 minit itu sarat dengan permainan emosi, senda gurau, nostalgia selain paparan visual, penataan cahaya dan sistem bunyi yang memberi ‘nyawa’ dan mudah dihadam oleh penonton.  Kredit juga wajar diberikan buat Liza Hanim kerana berjaya mengawal vokalnya meskipun berdepan masalah kesihatan.

Lebih 20 buah lagu telah beliau persembahkan antaranya Gelisah Mimpi, Siapa Sangka Siapa Menduga,Semilir, Andainya Aku Bersuara dan banyak lagi. Liza turut menampilkan satu segmen khas Tribute untuk Allahyarham Tan Sri P Ramlee menerusi lagu Jeritan Batinku, Dimanakan Ku Cari Ganti dan Istana Cinta. Liza turut membuai emosi penonton ketika menyampaikan lagu Tiada, yang beliau gubah sendiri pada tahun 2019.  

Liza Hanim 27 Years Journey In Concert adalah anjuran LH Media Sdn Bhd dan Laugh Out Loud Entertainment itu turut mendapat sokongan Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures Sdn Bhd.

Kehadiran peminat Liza Hanim 27 Years Journey In Concert membuatkan seluruh ruang Zepp KL bergema dan pastinya menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan. Konsert pada malam itu turut dimeriahkan dengan kehadiran rakan artis antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Anuar Zain, Marsha, Jaclyn Victor, Nikki Palikat, Noryn Aziz, Aisha Retno, Dina Nadzir, Haziq Husni dan Dafi Ismail.

(Foto kredit: LH Media)