December 4, 2024

SHAH ALAM – Kumpulan muzik pop rock lagenda UK’s dan Slam telah bergabung di atas sebuah pentas konsert yang membawa peminat-peminat mereka bergentayangan menghayati alunan lagu dan muzik sambil mengimbau kembali nostalgia bersama dalam ‘Concert UK’SLAM Musical’. 

Konsert anjuran Bombbay Legend Worldwide bersama AMIRUKS Entertainment telah berlangsung di Stadium Shah Alam, malam tadi. Sebanyak 23 buah lagu telah dipersembahkan dengan dibahagikan kepada beberapa segmen yang mempunyai nilai sentimental dari segi garapan, susunan dan sentuhan penceritaan melalui elemen visual serta muzikal yang digabungkan bersama-sama di dalam persembahan oleh kedua-dua kumpulan terbabit.

Menurut vokalis UK’s, Amir merasa teruja apabila dapat bergabung bersama kumpulan Slam yang mana kedua-dua kumpulan muzik ini dibawah ‘sifu’ yang sama iaitu komposer tersohor, Saari Amri. Konsert ini juga adalah malam apresiasi buat Saari yang banyak berjasa menaikkan kumpulan UK’s dan Slam dengan lagu-lagu ciptaan beliau yang hingga kini masih lagi aktif dimainkan di corong-corong radio.

“Hampir 30 tahun lagu-lagu UK’s masih diminati dan terima kasih buat Saari Amri kerana tidak pernah berputus asa menaikkan nama UK’s dengan lagu-lagu yang hebat. Pada permulaan UK’s gagal namun Saari Amri terus berjuang sehingga nama UK’s dikenali sehingga kini.” Kata Amir yang tidak putus-putus memberi penghargaan buat Saari Amri.

Selain Amir, Kumpulan UK’s diterajui Rozdenil (gitar), Saleh (bass), Amiruddin (drum) dan Mus Satira (gitar), pemain sessionist asal dalam rakaman album kumpulan Uk’s. 

Uk’s telah mempersembahkan lagu-lagu hit dari album terdahulu mereka yang telah mencecah jualan ratusan ribu unit di Malaysia dan jutaan unit di Indonesia. Antara seleksi lagu-lagu yang dipersembahkan oleh UK’s seperti Rytham Si Jantung Hati, Kekasihku Di Menara, Pahit Akan Manis Akhirnya, Kau Satu-SatunyaRondo Cinta Buta dan banyak lagi. 

Menurut vokalis kumpulan Slam pula, Zamani Ibrahim, mereka juga tidak pernah melupakan jasa Saari Amri yang banyak menaikkan nama kumpulan itu hingga meledak di negara seberang Indonesia. Lagu Gemiris Mengundang gubahan Saari Amri ini pernah mengungguli carta di radio dan carta muzik televisyen serta pernah dirakam dalam 24 versi saduran oleh penyanyi pelbagai negara dan bahasa.

Dalam konsert tersebut, kumpulan Slam telah mempersembahkan lagu-lagu dari album pertama hingga terakhir mereka seperti Kembali Merindu, Tak Mungkin Berpaling, Mentari Muncul Lagi, KurniaKita Terpaksa Bermusuhan dan banyak lagi. Selain Zamani, Slam dibarisi oleh Shah (gitar), Eddie (keyboard), Azli (bass) dan Othman (drum). 

Amir dan Zamani turut berduet menerusi lagu Seksa, Nurkasih, Jika Kau Rasa GetarnyaKekasihku, Gerimis Mengundang serta rangkaian lagu-lagu madley UK’s dan Slam.

Peminat UK’s dan Slam yang hadir menyifatkan konsert ini bagaikan sebuah ‘karaoke terbuka’ dimana pihak penganjur juga telah menyediakan skrin besar beserta lirik lagu bagi memudahkan penonton sing-along sepanjang persembahan. 

Gabungan duet antara kedua-dua kumpulan ini seterusnya telah membawa kepada persembahan yang lebih bertenaga dan energatik. Penampilan keseluruhan anggota kumpulan di atas satu pentas telah membawa para peminat UK’s dan Slam bergabung menjadi satu untuk bersama-sama menyanyikan keseluruhan irama lagu hingga ke akhir persembahan.

Konsert pada malam itu adalah sebuah konsert yang menggamit memori dengan pemilihan lagu-lagu yang menjadi siulan dan kegilaan peminat mereka suatu ketika dahulu. Selain bernostalgia, konsert ini menjadi sebuah persembahan yang penuh malar segar untuk dijadikan sebagai kenangan paling indah buat selamanya.

Terdahulu, Concert UK’Slam Musical merupakan sebuah produksi Bombbay Legend Worlwide bersama AMIRUKS Entertainment dengan sokongan Johan Enterprise, Mewah Event Management, Mr Helibro, dan JBR Bundle sebagai rakan strategik. Saari Amri, Azam Dungun, Lan Laga, Zynakal, Nizam laksamana dan Dato’ Freddie Fernandez antara rakan artis yang hadir dalam konsert ini.