KUANTAN – Meski pun sempat merencanakan pesta khusus khas untuk rakyat Pahang dan Pantai Timur secara amnya iaitu Pesta Muzik Kuantan pada 24 Februari ini, Showpro Entertainment Sdn. Bhd. selaku Penganjur telah mengambil keputusan menunda acara berkenaan. Tidak ada yang lebih diutamakan oleh pihak penganjur selain menjaga sensitiviti, toleransi demi keharmonian serta menghormati pelbagai kaum dan agama sebagai rakyat Malaysia tercinta.
Pihak penganjur juga telah menukar nama acara ini ke Ungu Di Kuantan Bersama Artis Tanah Air.
Setelah mengambil kira faktor perkembangan isu semasa serta menghormati pandangan masyarakat terutamanya masyarakat Islam yang akan menyambut bulan Ramadan dan Hari Raya Aidil Fitri, pihak penganjur bersetuju untuk menunda pesta berkenaan ke tarikh baharu iaitu 4 Mei 2024. Showpro Entertainment bertanggungjawab dan prihatin mengenai setiap situasi yang berlaku di Malaysia.
Keputusan penundaan Ungu Di Kuantan Bersama Artis Tanah Air ini juga dipersetujui baik oleh seluruh barisan artis dan pihak yang terlibat. Barisan artis yang terlibat dalam penganjuran ini adalah kumpulan terkenal Indonesia, UNGU serta barisan artis tempatan iaitu Eda Ezrin, Ara Johari, Naim Daniel, Khai Bahar, Nabila Razali, Den Manjo dan Aswad Jalil akan menghiburkan pengunjung pada 4 Mei 2024.
Ungu Di Kuantan Bersama Artis Tanah Air ini pada asalnya mempunyai objektif untuk terus melestarikan budaya, menggalakkan apresiasi seni dan membantu penjanaan ekonomi di karnival jualan produk tempatanseperti makanan dan cenderahati serta aktiviti-aktiviti menarik di perkarangan Stadium Darul Makmur,Kuantan, Pahang. Gabungan seni muzik dan kebudayaan penduduk tempatan ini secara tidak langsungdikomersialkan sebagai satu tarikan pelancongan terbaik pengunjung ke Kuantan dan daerah-daerah lain di Pahang serta negeri di kawasan Pantai Timur.
Pihak Penganjur dengan rendah hati ingin memohon maaf kepada semua pembeli tiket konsert. Semua pembeli tiket konsert boleh mengekalkan status pembelian memandangkan hanya perubahan kepada tarikh konsert sahaja iaitu dari 24 Februari 2024 ditunda ke tarikh 4 Mei 2024.
Justeru, pihak Penganjur amat menghargai semua pihak yang memberi kerjasama dan menyokong serta memohon maaf sekali lagi di atas kesulitan ini.